Generasi ke-5 pertahan warisan tarian rebana kercing di usia emas

Harun menunjukkan alat muzik rebana kercing yang digunakan dalam seni tradisional tarian rebana kercing.
Harun menunjukkan alat muzik rebana kercing yang digunakan dalam seni tradisional tarian rebana kercing.
A
A
A

TUMPAT - Enggan membiarkan tradisi nenek moyang lenyap ditelan zaman, warga emas daripada generasi kelima dari Kampung Laut di sini masih gigih mempertahankan warisan tarian rebana kercing sejak 66 tahun lalu.

Penggiat seni itu, Harun Hasan, 76, mula melibatkan diri dengan rentak tari dan paluan rebana kercing seawal usia 10 tahun dengan mengikuti bapa saudara, Allahyarham Che Mohd Amin Taib membuat persembahan di majlis-majlis seperti kenduri kahwin di kampung-kampung sekitar mahupun di Istana Kelantan.

Katanya, tradisi tarian rebana kercing dipercayai sudah wujud 150 tahun dahulu dan berasal dari zaman Arab Parsi yang merangkumi gerak tarian, alunan rentak yang memuji ALLAH SWT serta Rasulullah SAW sambil diiringi bunyi paluan rebana kercing.

Harun (tengah) mengetuai kumpulan tarian rebana kercing di Kampung Laut, Tumpat.
Harun (tengah) mengetuai kumpulan tarian rebana kercing di Kampung Laut, Tumpat.

“Sejak kecil saya ikut keluarga iaitu bapa saudara dan nenek moyang mengadakan persembahan dan sudah menghafal lirik dalam bahasa Arab yang bermaksud puji-pujian kepada ALLAH SWT serta Rasulullah SAW.

“Pemain kompang dan penari pula terdiri daripada golongan lelaki yang menari dalam gerak dan rentak yang muda sambil mengenakan busana Melayu dan bersamping,” katanya ketika ditemui di Galeri Rebana Kercing di Kampung Laut di sini pada Isnin.

Katanya, kumpulan tarian rebana kercing yang terdiri daripada 12 penari dan 12 pemain rebana kercing di Kampung Laut itu dipercayai satu-satu di dunia dan perlu dipelihara daripada peredaran zaman.

Artikel Berkaitan:

Kumpulan warga emas dari Kampung Laut, Tumpat bersemangat memalu rebana kercing ketika membuat persembahan dalam majlis yang diadakan di kampung berkenaan.
Kumpulan warga emas dari Kampung Laut, Tumpat bersemangat memalu rebana kercing ketika membuat persembahan dalam majlis yang diadakan di kampung berkenaan.

“Tarian rebana kercing ini dibawa masuk ke Tanah Melayu oleh pedagang Arab pada masa dahulu dan penggiat seni ini kini hanya tinggal dalam kalangan warga emas berusia antara 60-an sehingga 70-an seperti saya.

“Saya adalah generasi kelima yang mewarisi seni ini dan mewariskan kepada generasi keenam iaitu anak bongsu, Mohd Azlami, 31, yang kini belajar di peringkat sarjana dalam bidang berkaitan seni tari di Universiti Malaysia Kelantan (UMK),” katanya.

Harun berdiri di tangga Galeri Rebana Kercing di Kampung Laut, Tumpat yang menjadi tempat latihan kumpulan kesenian tarian rebana kercing.
Harun berdiri di tangga Galeri Rebana Kercing di Kampung Laut, Tumpat yang menjadi tempat latihan kumpulan kesenian tarian rebana kercing.

Anak jati Kampung Laut itu turut menzahirkan rasa bangga apabila seni tarian rebana kercing mendapat perhatian Kedutaan Amerika Syarikat (AS) yang menaja dana penyelidikan lebih RM200,000 kepada UMK bagi usaha pemuliharaan warisan seni kebudayaan itu.

“Saya amat terharu dan berbangga untuk bekerjasama dengan UMK dalam usaha menjalankan penyelidikan tentang sejarah dan menghasilkan dokumentari tarian rebana kercing,” katanya.