Pulau Pinang 'diserbu' pelancong

Jalan Penang sesak apabila dibanjiri kereta pengunjung luar yang datang bercuti di Pulau Pinang.
Jalan Penang sesak apabila dibanjiri kereta pengunjung luar yang datang bercuti di Pulau Pinang.
A
A
A

GEORGETOWN - Beberapa buah kedai makanan dan tempat tumpuan pelancong di pusat bandar dikunjungi ramai pengunjung susulan cuti panjang bermula 29 Januari hingga 4 Februari ini.

Tinjauan di pusat bandar mendapati, jumlah kenderaan meningkat di jalan utama serta kawasan tumpuan seperti Jalan Penang; Komtar, Jalan Datuk Keramat dan Jalan Scotland iaitu menghala ke Batu Feringghi.

Selain itu, Jalan Air Itam menuju ke Bukit Bendera juga sesak selain kereta banyak di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu.

Restoran nasi kandar antara menjadi tumpuan antaranya Nasi Kandar Mohamed Rafee di Pulau Tikus; Nasi Kandar Line Clear di Jalan Penang; Nasi Kandar Beratur di Jalan Kapitan Keling dan Nasi Kandar Deen Maju di Jalan Gudwara.

Selain itu, kedai Jeruk Madu Pak Ali; gerai Ais Tingkap, Cendul Teochew dan Kafe Bee Hwa juga diserbu peminat makanan popular di Pulau Pinang itu.

Pelajar kolej, Norshafawati Ibrahim, 20, berkata, dia bersama 10 ahli keluarganya dari Melaka ke negeri ini untuk bercuti sambil menikmati makanan kegemaran mereka.

"Kami sekeluarga memang minat makanan di Pulau Pinang terutamanya Ais Tingkap dan nasi kandar. Alang-alang cuti panjang, kami sekeluarga mengambil keputusan untuk bercuti di sini.

"Pulau Pinang memang pilihan pertama setiap kali merancang untuk bercuti. Walaupun cuaca panas, kami sanggup beratur demi makanan kegemaran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pekerja swasta, Asrul Sani Othman, 50 an berkata, dia bersama keluarganya gemar ke Pulau Pinang kerana suka dengan pantainya.

"Kami sekeluarga datang dari Kuala Lumpur untuk berehat sambil menikmati keindahan pantai di sini.

"Keistimewaan Pulau Pinang ini, selain laut, makanannya semua sedap-sedap. Anak-anak dan isteri sangat suka dengan pasembor," katanya.

Sementara itu, pemilik restoran Nasi Kandar Deen Maju, Tajudeen S Jamaldeen, 52, berkata, restorannya diserbu peminat nasi kandar sejak Jumaat lalu.

Orang ramai sedang beratur untuk menikmati nasi kandar di Restoran Deen Maju di Jalan Gudwara.
Orang ramai sedang beratur untuk menikmati nasi kandar di Restoran Deen Maju di Jalan Gudwara.

Katanya, walaupun perkhidmatan 'dine-in' dibenarkan, dia hanya mengehadkan hanya 40 meja disediakan berbanding 80 meja sebelum ini.

"Walaupun ramai pelanggan, prosedur operasi standard (SOP) masih perlu dijaga. Setiap meja hanya boleh ditempatkan dalam kalangan keluarga atau kenalan yang sama sahaja.

"Selain itu, saya juga menambah pekerja kerana pelanggan terlalu ramai. Saya juga mendapatkan khidmat dua orang Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) untuk menjaga lalu lintas dan juga SOP ketika pelanggan sedang beratur," katanya.

Dalam pada itu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengetatkan kawalan pemantauan dan penguatkuasaan lalu lintas sepanjang cuti perayaan berkenaan.

MBPP dalam satu kenyataan berkata, orang awam dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan memandu secara berhemah.

Menurutnya, pengunjung yang memandu kenderaan sendiri diminta tidak meletakkan dan memberhentikan kenderaan di kawasan larangan.

"Pemantauan dan penguatkuasaan anti-liter juga akan dijalankan terutamanya di semua kawasan pelancongan dan kawasan sasaran (hotspot). Semua tugasan pemantauan akan dijalankan secara rondaan pegawai dan juga melalui sistem kamera litar tertutup (CCTV) di Pusat Intelligent Operations Centre (IOC) MBPP.

"Petugas Pasukan Skuad Pantas MBPP turut bersiap sedia dalam menghadapisebarang bencana yang mungkin berlaku seperti pokok tumbang," menurut kenyataan itu pada Isnin.

Jumaat lalu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, Pulau Pinang dijangka akan mengalami penambahan jumlah kenderaan sehingga 50,000 buah sehari sepanjang sambutan Tahun Baru Cina yang akan disambut minggu hadapan.

Katanya, selain penduduk Pulau Pinang yang tinggal di luar pulang untuk beraya, pengunjung luar juga dijangka akan masuk ke negeri ini untuk bercuti.

Dalam pada itu, MBPP telah membekukan cuti rehat bagi 2,342 pekerja atau 77.58 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja MBPP.

"Pembekuan cuti rehat bermula daripada 31 Januari sehingga 4 Februari ini bagi semua ketua jabatan, pegawai dan staf jabatan yang terlibat dalam perkhidmatan perlu (essential services)," katanya.