Jumlah gantian cuti rehat penjawat awam dinaikkan 160 hari

Kerajaan bersetuju menaikkan jumlah GCR kepada 160 hari dan membenarkan pemberian awal award wang tunai GCR sebanyak 80 hari mulai Januari 2022.
Kerajaan bersetuju menaikkan jumlah GCR kepada 160 hari dan membenarkan pemberian awal award wang tunai GCR sebanyak 80 hari mulai Januari 2022.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan melalui pembentangan Belanjawan 2022 bersetuju menaikkan jumlah hari maksimum gantian cuti rehat (GCR) daripada 150 hari kepada 160 hari dan membenarkan pemberian awal award wang tunai GCR sebanyak 80 hari mulai Januari 2022.

Menurut kenyataan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam, sekiranya pegawai telah mengumpul GCR melebihi 160 hari, lebihan GCR yang terkumpul boleh digunakan oleh pegawai sebagai cuti rehat pada tahun persaraan.

“Pegawai yang telah memilih Skim Pencen mahupun Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berhasrat untuk memohon pemberian awal award wang tunai GCR perlu memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

“Antara syaratnya adalah tempoh perkhidmatan pegawai yang boleh dimasuk kira hendaklah tidak kurang daripada 15 tahun dan pegawai telah mencapai umur 45 tahun.

“Syarat seterusnya jumlah GCR yang terkumpul sebelum permohonan pemberian awal award wang tunai GCR hendaklah sekurang-kurangnya 80 hari dan bebas daripada sebarang prosiding jenayah atau tindakan tatatertib serta mendapat perakuan daripada ketua jabatan,” menurut kenyataan itu pada Isnin.

Jelas kenyataan itu, jumlah maksimum pengumpulan GCR yang boleh dibayar award wang tunai sepanjang tempoh perkhidmatan adalah 160 hari.

Tambahnya, pemberian awal award wang tunai GCR sebanyak 80 hari boleh dibuat sekali sahaja sepanjang perkhidmatan pegawai, manakala baki 80 hari GCR terkumpul akan dibayar pada tahun persaraan wajib.

“Ketua jabatan hendaklah menggunakan aplikasi Sistem Pengiraan GCR yang boleh dimuat turun di portal www.jpapencen.gov.my untuk tujuan pengiraan GCR yang tepat bagi pemberian awal award wang tunai GCR.

Artikel Berkaitan:

“Ketua jabatan perlu memastikan pengumpulan GCR yang dibuat sepanjang tahun perkhidmatan pegawai adalah betul dan teratur sebagaimana kehendak peraturan yang berkuat kuasa.

“Semua dokumen permohonan pemberian awal award wang tunai GCR yang telah diperakukan hendaklah dikemukakan melalui Ketua Jabatan kepada Bahagian Pasca Perkhidmatan JPA. Surat Edaran boleh dimuat turun melalui portal JPA di https://tinyurl.com/59en9n7v,” ujarnya.

Maklumat perhubungan berkaitan GCR boleh diajukan ke talian 03-8885 4686 / 4428 / 4431 / 4670 / 4427 / 4729 atau e-mel ke pertanyaan.gcr@jpa.gov.my.