Kunjungan Duta Besar Jerman ke UMP perkukuh kerjasama akademik

Blomeyer mencuba alat simulator pemanduan di makmal penyelidikan UMP sempena kunjungan beliau ke UMP Kampus Pekan pada Rabu lalu
Blomeyer mencuba alat simulator pemanduan di makmal penyelidikan UMP sempena kunjungan beliau ke UMP Kampus Pekan pada Rabu lalu
A
A
A

PEKAN - Kunjungan Duta Besar Jerman ke Malaysia, Dr Peter Blomeyer ke Universiti Malaysia Pahang (UMP) memperkukuhkan lagi jalinan kerjasama akademik antara universiti itu dan institusi pendidikan Jerman.

Jalinan kerjasama dua hala bagi mengembangkan model pendidikan kejuruteraan Jerman (Fachhochschule) dalam sistem pendidikan teknikal negara itu telah terjalin sejak 12 tahun lalu.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMP, Profesor Ts Dr Mohd Rosli Hainin berkata, UMP dan institusi Jerman iaitu Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) Jerman telah memeterai kerjasama erat sejak 27 Mei 2010 melalui pengambilan pertama program dual ijazah Kejuruteraan Mekatronik (UMP-HKA).

Menurutnya, kerjasama dengan negara Eropah itu terjalin menerusi rundingan UMP dengan Perkhidmatan Pertukaran Akademik Jerman (DAAD).

"DAAD merupakan sebuah agensi kerajaan Jerman yang bertanggungjawab terhadap kerjasama akademik antarabangsa dengan sokongan pihak kedutaan Jerman dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Kunjungan Duta Besar Jerman ini pastinya sangat bermakna buat UMP dalam mengukuhkan hubungan baik khususnya melalui kolaborasi akademik dan program mobiliti melibatkan pelajar UMP serta pelajar dari Jerman," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohd Rosli berkata, UMP turut mempunyai Pusat Kerjasama Akademik Jerman (GACC) yang menyelaras program akademik, promosi, mobiliti pelajar dan kerjasama luar Jerman.

Tambahnya, sebagai salah sebuah Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), UMP turut menetapkan sasaran agar semua fakulti dan jabatan di universiti itu perlu menjalinkan program antarabangsa sebagai penanda aras dalam memperkasa pembangunan akademik melalui perancangan Pelan Strategik UMP 2021-2025.

Artikel Berkaitan:

Pada lawatan Blomeyer ke UMP Kampus Pekan Rabu lalu, Duta Besar Jerman itu berpeluang melawat makmal dan penyelidikan UMP selain beramah mesra dengan pelajar yang sedang mengikuti pengajian program mekatronik dan automotif UMP-HKA dan pelajar program Kejuruteraan Perniagaan dengan kerjasama Reutlingen University (HsRT).

Ketibaan Blomeyer disambut Mohd Rosli dan Pengarah Pusat Kerjasama Akademik Jerman, Profesor Madya Ts Dr Mohd Ruzaimi Mat Rejab.

Mohd Rosli (enam dari kiri) dan Blomeyer di hadapan bas pintar swapandu yang dibangunkan penyelidik UMP.
Mohd Rosli (enam dari kiri) dan Blomeyer di hadapan bas pintar swapandu yang dibangunkan penyelidik UMP.

Turut hadir Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Profesor Dr Mahadzir Ishak, Dekan Fakulti Kejuruteraan Teknologi Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Profesor Madya Dr Hamdan Daniyal dan Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Profesor Madya Ir Ts Dr Faiz Mohd Turan.

Sementara itu, Blomeyer berkata, pihaknya berpuas hati dengan kolaborasi baik antara UMP dengan institusi Jerman selain bangga dengan pencapaian universiti dalam kebolehpasaran graduan yang mencapai 96 peratus mendapat pekerjaan.

“Selain dibawa melawat makmal kejuruteraan mekatronik dan automotif, pada lawatan itu satu perbincangan telah diadakan bagi membincangkan isu alam sekitar, perubahan iklim, biodiversiti, teknikal, sains dan sistem pendidikan di Jerman yang boleh menyumbang terhadap kerjasama dalam Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, melalui Malaysian - German Chamber of Commerce and Industry (MGCC), UMP turut berpotensi untuk menjalinkan kerjasama dan kolaborasi dengan industri yang boleh diterokai pada masa hadapan.

"Langkah itu seiring dengan perkembangan ekonomi yang pesat dan sumbangan sektor perdagangan dan perindustrian dalam negara.

"Malah hubungan baik ini membolehkan UMP berkerjasama erat dengan nama-nama besar industri dari Jerman seperti Mercedes-Benz, Volkswagen, BMW, Robert Bosch, Muehlbauer Technologies dan Elektrisola melalui peluang penempatan latihan industri, pertukaran staf, lawatan industri dan peluang pekerjaan," katanya.

UMP merupakan satu-satunya universiti di negara ini yang menerima sumbangan anugerah kecemerlangan pelajar daripada pihak Association of German Engineers (VDI) Karlsruhe.

VDI Karlsruhe merupakan sebuah pertubuhan yang mempunyai kepakaran kejuruteraan dan teknologi dalam menyediakan perkhidmatan kepada jurutera, penasihat terhadap ekonomi, politik dan teknologi.

Pertubuhan itu juga turut menyumbang kepada aspek teknikal dan saintifik dalam pembangunan kejuruteraan Jerman di peringkat antarabangsa.