Kualiti udara tapak pelupusan sampah Pulau Burung tahap sederhana

Kawasan kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Jalan Byram, Nibong Tebal. - Foto Bernama
Kawasan kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Jalan Byram, Nibong Tebal. - Foto Bernama
A
A
A

NIBONG TEBAL - Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sekitar kawasan kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Jalan Byram di sini menunjukkan tahap sederhana hari ini berbanding tidak sihat, semalam.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata berdasarkan pemantauan pihaknya, IPU tidak sihat di kawasan itu semalam bukan sahaja disebabkan habuk dari kebakaran malah daripada penggunaan tanah untuk menimbus kawasan terbakar dan pergerakan lori keluar masuk ke kawasan tersebut.

"Bacaan IPU di stesen sementara di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram hari ini mendapati kualiti udara berada di tahap sederhana namun masih tinggi berbanding empat stesen IPU lain di Pulau Pinang.

"Ia bukan hanya disebabkan kebakaran sahaja namun habuk tanah di situ pun boleh menyumbang kepada bacaan IPU sebab parameter dominan yang dicerap oleh stesen adalah PM2.5 (habuk halus)," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Berdasarkan laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat 6 petang, SJKT Ladang Byram merekodkan bacaan 88 manakala empat stesen lagi turut mencatatkan sederhana iaitu Seberang Jaya (81) dan Seberang Perai (70) di bahagian tanah besar manakala Minden (70) dan Balik Pulau (64) di kawasan pulau.

Sharifah Zakiah berkata, empat stesen utama yang mengukur bacaan IPU di Pulau Pinang sejak beberapa hari lepas turut didapati mengalami peningkatan dari segi bacaan dan kualiti udara dipercayai didorong pengaruh luar.

"Peningkatan bacaan IPU itu bukan sahaja disebabkan kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung namun juga berpunca daripada jerebu merentas sempadan berikutan kebakaran hutan di Kemboja ketika ini,” katanya.

Tinjauan mendapati jerebu sederhana mula dilihat melanda Pulau Pinang apabila beberapa kawasan terutama di Seberang Jaya berada dengan jarak penglihatan yang agak terhad.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Piang, Phee Boon Poh berkata, pemadaman di sektor 3 tapak pelupusan sampah itu hampir selesai dan ketika ini usaha sedang giat dilakukan bagi memadam serta menambak tanah di sektor terakhir iaitu sektor 5.

"Ketika ini kira-kira 25 peratus daripada lebih 11 hektar kawasan kebakaran masih terbakar," katanya dalam kenyataan. - Bernama