Kemarau: 150 pesawah berdepan kerugian RM800,000

Kemarau melanda lebih awal daripada jangkaan di kawasan bendang di Gaal, Gong Datuk dan Wakaf Bunut, Pasir Puteh.
Kemarau melanda lebih awal daripada jangkaan di kawasan bendang di Gaal, Gong Datuk dan Wakaf Bunut, Pasir Puteh.
A
A
A

PASIR PUTEH - Seramai 150 pesawah kemungkinan berdepan kerugian RM800,000 apabila kemarau melanda lebih awal di kawasan bendang di Gaal, Gong Datuk dan Wakaf Bunut, di sini hampir sebulan lalu.

Masalah itu menyebabkan kerja-kerja pembajaan tidak dapat dilakukan dengan sempurna susulan kawasan sawah seluas 200 hektar menjadi kering-kontang.

Wakil pesawah, Abdul Rahim Ab Rahman, 62, merayu pihak berkenaan mengambil langkah segera dengan mencari jalan penyelesaian bagi menyelesaikan masalah tersebut.

"Kami bergantung kepada taburan hujan selamai ini, namun awal tahun 2022 kemarau berlaku dengan lebih cepat sehingga tanah merekah," katanya ketika ditemui pemberita di Bendang Gaal di sini pada Sabtu.

Menurutnya, memburukkan lagi keadaan apbiala semua saliran parit dan longkang kering akibat kemarau sekaligus membuat para pesawah buntu memikirkan untuk mendapatkan bekalan air.

Dia berkata, kawasan berkenaan tidak mempunyai sumber yang membolehkan mereka mengalirkan air ke petak-petak sawah dengan lebih cepat.

Abdul Rahim berkata, jika masalah itu terus berlarutan berkemungkinan besar tanaman padi diusaha di atas tanah seluas 37 hektar yang sedang bunting akan berbuah tanpa isi.

Artikel Berkaitan:

Petani merayu pihak berkenaan supaya menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka ketika ini.
Petani merayu pihak berkenaan supaya menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka ketika ini.

Bagi Wan Muhamad Khozani Wan Yusof, 59, mengikut jadual padi yang ditanam pada awal November lalu sepatutnya sudah boleh dituai pada pertengahan Februari.

Katanya, melihat kepada situasi itu dia akan mengalami kerugian besar kerana telah mengeluarkan wang yang banyak untuk mengusahakan tanaman tersebut.

"Tanaman padi merupakan mata pencarian tunggal penduduk di tiga kampung ini. Kami sudah melakukan kaedah pertanian moden mengikut saranan kerajaan namun masalah pengairan ini menjejaskan segala-galanya.

"Kemarau juga menyebabkan baja buah yang digunakan sebelum ini gagal diserap oleh anak pokok padi kerana keseluruhan tanah bendang menjadi kering-kontang," katanya.