Lawatan kerja telah dirancang: MB Johor

Osman Sapian
Osman Sapian
A
A
A

JOHOR BAHRU - Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian menjelaskan lawatan kerja delegasi kerajaan negeri ke Pulau Batam, Riau, pada 15 Mac lalu, telah dirancang sebelum ini.

Menurutnya, lawatan itu adalah berkaitan dengan urusan kerja untuk meningkatkan rangkaian kerjasama di antara penggerak industri pelancongan dan pelabur Johor bersama penggerak industri di Indonesia khususnya di Pulau Batam.

“Lawatan kerja ini pada asalnya adalah selama tiga hari, namun kami telah memendekkan lawatan tersebut hingga kurang sehari atas keperluan mendesak untuk mengurus operasi pembersihan di Pasir Gudang.

“Saya telah membatalkan beberapa sesi pertemuan lain ketika sesi lawatan kerja, namun beberapa mesyuarat penting yang tidak dapat dielakkan terpaksa dilaksanakan.

"Ini adalah penting sebagai persediaan kerajaan negeri dalam menghadapi Tahun Melawat Johor 2020,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Osman berkata, beliau berterima kasih kepada Wali Kota Batam, Muhammad Rudi kerana memahami sebab mengapa beberapa sesi lawatan dan mesyuarat terpaksa dibatal dan dipendekkan kerana bencana di Pasir Gudang.

“Malah, mereka juga melahirkan rasa sedih atas kejadian ini,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang kurang 24 jam di Batam, pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana sentiasa berhubung dengannya setiap dua jam untuk memastikan segala keperluan dan operasi mengawal bencana terus berjalan lancar dan teratur.

Artikel Berkaitan:

“Justeru, saya berharap agar penjelasan ini dapat merungkai salah faham atau kekeliruan di kalangan rakyat.

“Saya amat berterima kasih kepada semua kakitangan dan agensi yang gigih berkerja 24 jam tanpa henti bagi mengurus dan mengawal operasi bencana ini,” katanya.