Dadah: Penganggur dijel 8 tahun, 12 sebat

Tertuduh (kanan) dikawal warden penjara keluar dari mahkamah selepas dihukum dan dihantar ke penjara bagi menjalani hukuman.
Tertuduh (kanan) dikawal warden penjara keluar dari mahkamah selepas dihukum dan dihantar ke penjara bagi menjalani hukuman.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tiga pertuduhan memiliki dadah jenis heroin dan metamphetamine, tahun lalu.

Hukuman diputuskan Hakim, Ahmad Bazli Bahruddin selepas tertuduh, Hasnul Nazudi Che Ahamed, 38, mengaku salah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki heroin dengan berat bersih 11.34 gram (g) di sebuah rumah di Kampung Pengkalan Pauh Jeram, Pasir Puteh, pada jam 1 tengah hari, 17 Oktober tahun lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan minimum 10 sebat.

Pada tuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39A(1) akta sama memiliki 14.43g berat bersih dadah jenis metamphetamine pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara minumum dua tahun dan maksimum lima tahun serta sebat minumun tiga sebat dan maksimum sembilan sebat.

Manakala pada tuduhan ketiga, tertuduh didakwa memiliki 1.43g dadah jenis heroin juga pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Dakwaan tersebut dibuat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama, memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, tertuduh memohon hukumannya diringankan dan bermula dari tarikh tangakapan, manakala Timbalan Pendakwa Raya negeri, Wan Nurul Hanini Wan Ahamad Shukry memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan bagi kesalahan pertama; penjara empat tahun dan tiga sebatan (kedua) dan penjara dua tahun (ketiga).

Kesemua hukuman berkuatkuasa serentak dari tarikh tertuduh ditahan pada 17 Oktober 2018.