132 kemalangan dicatatkan hari pertama Op Selamat 17 di Perak

Anggota JSPT Perak mengawal lalu lintas di Jalan Sultan Idris Shah di Ipoh pada Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina 2022. (Gambar kecil: Azizan)
Anggota JSPT Perak mengawal lalu lintas di Jalan Sultan Idris Shah di Ipoh pada Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina 2022. (Gambar kecil: Azizan)
A
A
A

IPOH - Sebanyak 132 kemalangan dengan satu kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina 2022 yang baharu dilancarkan pada Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Azizan Hassan berkata, nahas yang berlaku di Taiping itu melibatkan seorang penunggang motosikal iatu lelaki berusia 40 tahun.

"Daerah Ipoh mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi iaitu 56 kes diikuti Taiping (15), Tapah (12), Kuala Kangsar (9) dan Kampar pula lapan kes.

"Daerah Kerian dan Muallim mencatatkan tujuh kes, Hilir Perak (empat), Batu Gajah, Gerik, Manjung dan Perak Tengah (tiga) manakala Selama dan Sungai Siput masing-masing satu kes. Kawasan Pengkalan Hulu pula tiada kes direkodkan," katanya kepada pemberita selepas meninjau aliran trafik di Jalan Sultan Idris Shah di sini, pada Sabtu.

Menurutnya, pasukan JSPT telah ditempatkan di 28 lokasi panas yang dikenalpasti bagi memantau dan melancarkan lalu lintas.

"Antara kawasan yang dikenalpasti antaranya di Ipoh membabitkan Jalan Sultan Iskandar, Jalan Idris Shah dan Jalan Simpang Pulai.

"Laluan lain dijangka sesak termasuk di Taiping melibatkan lampu isyarat Tol Changkat Jering, Kamunting dan Simpang. Daerah Manjung pula adalah di Pantai Remis, Ayer Tawar, Lekir dan Teluk Batik," katanya.

Azizan berkata, pihaknya menjangkakan berlaku peningkatan kenderaan sebanyak 30 peratus berbanding hari biasa.

Artikel Berkaitan:

"Ini dapat dilihat dengan terdapat sedikit kesesakan di setiap laluan masuk ke arah pusat bandar berikutan masyarakat keluar untuk membeli belah.

"Bagaimanapun, pengguna jalan raya diingatkan lebih berhati-hati dan tindakan tegas akan diambil sekiranya tidak mematuhi peraturan jalan raya sepanjang Op Selamat ini," katanya.