Syarikat jual beli kenderaan terpakai dikompaun RM30,000

KUANTAN - Sebuah syarikat jual beli kenderaan terpakai di negeri ini dikesan melakukan penipuan dengan mengubah maklumat tahun buatan pada setiap gambar sijil pendaftaran kenderaan yang ditawarkan untuk dijual melalui platform jual beli kenderaan dalam talian.
Taktik itu digunakan bagi mengaut keuntungan yang lebih besar kerana menjual kenderaan yang telah susut nilai pada harga pasaran semasa.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, Normaswari Nordin berkata, salah laku syarikat jual beli kenderaan terpakai itu dikesan hasil aduan pengguna yang mendakwa tertipu dengan transaksi jual beli kenderaan yang diiklankan disalah satu platform jual beli kenderaan dalam talian terkenal.
Menurutnya, KPDNHEP Pahang telah mengambil tindakan tegas terhadap syarikat tersebut dengan mengeluarkan kompaun RM30,000.