Ahmad Maslan nafi bertanding PRN Johor

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

PONTIAN - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menafikan desas-desus beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, tumpuan akan diberikan bagi membantu jentera Barisan Nasional (BN) dan UMNO pada PRN Johor terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut yang akan ditandingi Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad.

"Jika dicari dalam kertas undi pada PRN Johor, nama saya tiada.

Jadi dalam erti kata lain, saya tidak akan bertanding di mana- mana kerusi DUN di Pontian iaitu DUN Pulai Sebatang atau Benut.

"Namun saya tetap akan bantu Hasni yang juga Ketua Bahagian UMNO Pontian dan Menteri Besar Johor untuk dicalonkan semula di DUN Benut," katanya selepas penyerahan sumbangan Tahun Baru Cina di DUN Benut di sini pada Jumaat.

Ahmad memberitahu, kini sedang melakukan tinjauan ke 56 DUN di seluruh Johor bermula di kawasan DUN Kukup, Pekan Nanas dan Pulai Sebatang pada Jumaat.

"UMNO dan BN hendak tawan semula kerusi DUN Pulai Sebatang yang tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

"Saya harapkan jentera pilihan raya akan terus bekerja bagi memastikan kemenangan di kerusi DUN Pulai Sebatang yang terletak di dalam Parlimen Pontian," katanya.

Artikel Berkaitan: