Perlis diminta segera bertindak atasi isu air tak berhasil

Asrul Nizan (kiri) meninjau keadaan jalan di hadapan Dewan Kospen Kampung Sena digenangi air yang terhasil akibat kebocoran paip air.
Asrul Nizan (kiri) meninjau keadaan jalan di hadapan Dewan Kospen Kampung Sena digenangi air yang terhasil akibat kebocoran paip air.
A
A
A

KANGAR - Kerajaan Negeri Perlis diharap segera bertindak mengurangkan peratusan kadar air tak berhasil (NRW) di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, Asrul Nizan Abd Jalil berkata, sebanyak 124 juta liter sehari (MLD) air bersih hilang setiap hari di negeri ini yang mana keadaan itu berpunca daripada kebocoran paip air, kecurian bekalan air dan faktor kehilangan komersil.

Menurutnya, tindakan susulan yang lebih pantas dan proaktif perlu diambil bagi mengelak kerajaan negeri terus menanggung kerugian selain pembaziran.

“Sekiranya perlu, rombak prosedur operasi standard (SOP) sedia ada supaya dapat dilakukan penambahbaikan dengan membangunkan SOP komprehensif demi tanggungjawab terhadap rakyat yang merupakan pembayar cukai dan pengguna air.

“Mereka berhak disajikan perkhidmatan terbaik menerusi sistem penyampaian yang cekap,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Asrul Nizan memaklumkan, berdasarkan kedudukan NRW nasional 2019, Perlis mencatatkan kadar NRW tertinggi sebanyak 63 peratus, diikuti Kelantan (49 peratus) dan Kedah (48 peratus), berbanding 35 peratus bagi purata kebangsaan.

“Pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, dimaklumkan Rancangan Projek Pembangunan Sistem Bekalan Air Negeri Perlis dengan peruntukan RM107.5 juta yang antara lain bertujuan menjalankan program mengurangkan NRW.

“Saya bersedia berganding bahu bersama kerajaan negeri untuk menyelesaikan permasalahan NRW.

Artikel Berkaitan:

Antara inisiatifnya termasuk menggalakkan penduduk DUN Sena dan seluruh negeri melaporkan segera aduan paip bocor, menggunakan hashtag better Perlis supaya pihak berkaitan peka dan segera bertindak,” katanya.

Menurutnya, penglibatan aktif penduduk yang merupakan komuniti pengguna air diyakini mampu memberikan impak besar mengurangkan peratusan NRW.

Asrul Nizan turut mencadangkan agar kerajaan negeri menjalin kerjasama dengan universiti kejuruteraan berprestij, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk merangka pelan pemulihan NRW.

“Ambil peluang keberadaan UniMAP untuk jalankan kajian komprehensif terhadap keberkesanan pengurusan NRW melalui geran penyelidikan universiti. Selain isu terbabit, UniMAP dapat bantu percepatkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri.

“Kerjasama strategik melalui penyelidikan ini dapat menyediakan pelan tindakan jangka panjang bagi penyelesaian masalah air dengan memanfaatkan teknologi berskala tinggi baharu, mesra alam serta kecekapan kos,” ujarnya lagi.

Menurutnya, kerajaan negeri perlu berlapang dada dan bersedia menerima pandangan intelektual UniMAP yang diyakini padat dengan penyelidikan empirikal.

“Rakyat tentu menantikan kerajaan negeri dan Syarikat Air Perlis (SAP) meningkatkan kualiti pentadbiran yang cekap, mematuhi amalan pentadbiran baik dan berintegriti untuk keberhasilan pengurusan sumber air yang berkesan.

“Ia kelak menempatkan Perlis di landasan tepat untuk melonjakkan kejayaan program pengurangan NRW selain membuktikan kita mampu minimumkan ancaman NRW terhadap keselamatan air di negeri ini,” katanya.

Asrul Nizan berkata, kes paip air bocor sudah berlarutan lama, antaranya di hadapan Dewan Kospen Kampung Sena yang kedudukannya berdekatan UTC Kangar yang diadukan penduduk baru-baru ini.

“Tiga kali aduan dibuat penduduk kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), malangnya sehingga kini kes kebocoran paip air masih gagal diatasi.

“Kes seperti ini bukan terpencil sebaliknya kebiasaan yang bukan lagi norma baharu di negeri ini.

Sampai bila kita nak biarkan kes seumpama berlarutan sedangkan kita menyedari ia antara faktor negeri mengalami kerugian atau pembaziran air,” katanya.

Menurutnya, SAP mengambil alih operasi bekalan air sejak Januari 2015 dan pernah dilaporkan bahawa hasil diperolehi tidak dapat menampung perbelanjaan operasi selain menanggung liabiliti tinggi akibat peningkatan kos operasi serta kerugian terkumpul.

“Disebabkan itu, penting untuk SAP segera bertindak apabila menerima aduan kebocoran paip air agar dapat mengurangkan kerugian selain membolehkan SAP lebih berdaya maju ke arah pemulihan prestasi semasa syarikat.

SAP juga perlu pastikan pelaksanaan program mengurangkan NRW di Perlis mencapai objektif,” katanya lagi.