Pembangkang bergabung strategi kalahkan UMNO, BN: Anwar

Anwar ketika Program #TemuAnwar Sembang Santai Dato' Seri Anwar Ibrahim di sebuah restoran di Port Dickson
Anwar ketika Program #TemuAnwar Sembang Santai Dato' Seri Anwar Ibrahim di sebuah restoran di Port Dickson
A
A
A

PORT DICKSON - Hasrat Pakatan Harapan (PH) untuk bekerjasama dengan parti pembangkang lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor merupakan antara strategi yang dilihat mampu menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana strategik itu dilihat mampu mengalahkan UMNO yang dilihat angkuh mampu menang dengan majoriti besar jika PRN diadakan.

Menurutnya, paling dikesalkan, UMNO Johor sanggup mengetepikan keutamaan dalam menangani isu Covid-19 dan banjir.

"Kita telah bagi laluan kepada pimpinan UMNO untuk mentadbir Johor walaupun dengan satu majoriti. Kita kata tidak akan ganggu supaya boleh tumpu soal Covid-19 dan banjir.

"Tapi secara angkuh mereka cakap ada kekuatan untuk dapat majoriti besar sehingga mengetepikan keutamaan menangani Covid-19 dan isu banjir.

"Jadi kita kata kita ada strategi tumbangkan mereka dan kita terpaksa lawan dengan segala kekuatan dan strategi yang memungkinkan kita mengalahkan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Program #TemuAnwar Sembang Santai Dato' Seri Anwar Ibrahim di sebuah restoran di sini pada Selasa.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan cadangan PH mahu bekerjasama dengan parti pembangkang lain dalam PRN Johor akan memberi kesan sekiranya mereka menang sekali gus memudaratkan negara.

Artikel Berkaitan:

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, formula itu sudah dilakukan mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan hasilnya boleh dilihat selepas itu apabila mempunyai kerajaan yang gagal.

Menurut Anwar, jika parti pembangkang menolak keangkuhan, salah guna kuasa, rasuah, penyelewengan dan konsisten serta bukannya golongan yang nak memecahkan PH, mengapa tidak PH mencari jalan untuk bekerjasama sebagai satu pasukan.

Dalam perkembangan sama, ditanya berkenaan soal calon yang akan diangkat PKR pada PRN Johor, Anwar berkata, ia terdiri daripada gabungan orang berpengalaman, mempunyai kekuatan, muda dan wanita.

"Saya akan dapatkan laporan dan cadangan daripada PH Johor dan kemudian baru kita putuskan. Tapi kaedahnya orang yang kuat, berpengalaman, muda dan wanita.

"Ia tidak boleh hanya dibarisi orang muda atau semua tua atau semua wanita. Kita kena rangkul semua seperti mana pada tiap-tiap pilihan raya sebelum ini," katanya