X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

DNA Malaysia, falsafah Korea

Pan-gon (gambar kecil) dijangka membawa corak permainan sama seperti Korea Selatan yang menekankan aspek taktikal seperti yang diterapkan kebanyakan pasukan di Eropah.
A
A

PELANTIKAN Kim Pan-gon sebagai pengendali baharu skuad kebangsaan dilihat mampu membantu meningkatkan lagi prestasi Harimau Malaya apabila corak bola sepak moden diterapkan.

Jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim berkata, Pan-gon dijangka membawa corak permainan sama seperti Korea Selatan yang menekankan aspek taktikal seperti yang diterapkan kebanyakan pasukan di Eropah.

Malah, beliau memberitahu, budaya kerja ‘orang Korea’ yang sangat menitikberatkan disiplin mampu mengubah sikap sambil lewa barisan pemain negara, sekali gus membantu menambah prestasi Harimau Malaya.

“Saya rasa tindakan FAM ini bijak kerana bola sepak kita sudah jauh di belakang. Jadi, kita kena belajar dengan orang yang lebih arif mengenai bola sepak moden iaitu Korea kalau mahu pergi lebih jauh.

“Sebab kalau dilihat sekarang, bola sepak Korea ini sudah bukan taraf Asia tetapi mereka level Eropah yang bermain dengan laju dan lasak. Jadi saya rasa corak permainan tersebut sudah tentu akan diterapkan kepada pasukan kebangsaan.

“Ditambah dengan attitude kerja Korea yang sangat menitikberatkan soal disiplin, saya yakin ia akan ubah sikap sambil lewa pemain negara,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Pada Jumaat lalu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengumumkan Pan-gon sebagai pengendali baharu Harimau Malaya bagi menggantikan Tan Cheng Hoe yang melepaskan jawatannya.

Beliau menjelaskan, jurulatih berusia 52 tahun itu diberikan kontrak dua tahun dengan pilih lanjutan dua tahun lagi sekiranya berjaya meningkatkan prestasi skuad Harimau Malaya.

Dalam pada itu, Irfan menjelaskan, kehadiran jurulatih baharu sahaja dilihat tidak cukup untuk membantu memulihkan prestasi pasukan sekiranya Malaysia kekurangan pemain berkualiti.

Justeru, beliau menasihatkan barisan pemain tempatan bermain di liga luar negara yang lebih kompetitif bagi menambahkan lagi pengalaman sedia ada yang akan membantu perkembangan bakat mereka.

“Kita tidak ada banyak pemain yang bermain di liga luar kalau hendak dibandingkan dengan Thailand yang mana ada beberapa pemain mereka seperti Songkrasin Chanatip bermain di Liga Jepun.

“Jadi tak kisah mereka bermain di divisyen berapa sekalipun di luar negara, kalau ada empat atau lima pemain mewakili kelab di luar negara, saya ingat kita boleh lahirkan lebih ramai pemain berkualiti.

“Jadi nasihat saya, keluarlah dari zon selesa,” jelas beliau.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!