Ideas kemuka tiga cadangan baiki CPI negara

Tricia Yeoh
Tricia Yeoh
A
A
A

SHAH ALAM - Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) mengemukakan tiga cadangan bagi menangani kemerosotan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia sepertimana dikeluarkan Transparency International-Malaysia (TI-M) pada Selasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Ideas, Tricia Yeoh berkata, antara cadangan tersebut adalah dengan mengambil kira saranan pembaharuan berkenaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2015 iaitu mewujudkan sebuah Suruhanjaya Bebas Antirasuah (IACC) sebagai sebuah suruhanjaya berperlembagaan.

“Selain itu, pembaharuan ini turut membabitkan pindaan terhadap Akta SPRM 2009 iaitu Seksyen 23 (salah laku penjawat awam) dan Seksyen 36 (Liabiliti Korporat).

“Pembaharuan undang-undang lain pula termasuk Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Perlindungan Saksi 2009,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Tricia berkata, cadangan lain ialah melaporkan secara telus kepada awam mengenai pencapaian sebenar Pelan Antirasuah Kebangsaan (NACP), malah memastikan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) bertindak berdasarkan mandatnya untuk memudahkan dan memantau integriti dalam institusi awam.

“Kegagalan melakukan pembaharuan dan perubahan yang diperlukan ini akan mempunyai akibat dalam jangka masa pendek dan jangka masa panjang.

“Dari segi jangka masa pendek, ia akan memberi kesan negatif kepada usaha pemulihan pasca Covid-19 dan pasca banjir Malaysia, manakala dari segi jangka masa panjang pula, ia akan menghakis keyakinan dan kepercayaan pelabur asing terhadap ekonomi Malaysia serta merendahkan keyakinan awam terhadap kerajaan dan institusinya,” jelas Tricia.

Pada Selasa, Presiden TI-M, Dr Muhammad Mohan memaklumkan kedudukan Malaysia dalam CPI 2021 merudum ke tangga 62 daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga 57 pada tahun 2020.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Tricia berkata, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kemerosotan CPI tersebut antaranya kekurangan iltizam politik dari pelbagai agensi kerajaan, organisasi dan individu berpengaruh untuk menentang rasuah.

“Satu contoh jelas adalah penyiasatan tidak lengkap dan pembebasan secara tergesa-gesa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

“Satu lagi isu adalah kekurangan pembaharuan berkaitan SPRM semenjak tahun 2015. Jadi, perkara ini perlu diberi perhatian yang jelas atau pemarkahan CPI Malaysia akan terus merosot pada masa hadapan.

“Kita juga perlu mempertimbangkan bahawa pelantikan politik ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang tidak terkawal selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pemerintahan berkemungkinan telah menyebabkan markah kita lebih merosot sepanjang tahun lalu,” katanya.

Tambah beliau, birokrasi dan institusi kerajaan yang tidak diuruskan dengan baik juga menyumbang kepada kemerosotan tersebut.

“Kajian kami terhadap rasuah dalam rantaian bekalan Malaysia mendedahkan betapa berakar umbinya rasuah apabila penjawat awam sering kali mengambil kesempatan dengan menyalahgunakan kuasa mereka.

“Terdapat juga isu pendanaan politik yang tidak terkawal, malah campur tangan politik dalam pentadbiran dan kewangan kerajaan.

“Ketiadaan penyeliaan sumbangan politik serta pendanaan awam yang sewajarnya memberi kesan kepada bidang dasar awam lain termasuk perolehan awam dan tadbir urus baik,” katanya.