Kejatuhan CPI dua tahun berturut-turut amat serius: GIACC

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Penurunan skor dan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 bagi tempoh dua tahun berturut-turut merupakan suatu perkara yang amat serius.

Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) menerusi kenyataannya memaklumkan, penurunan skor Malaysia ke tangga 62 daripada keseluruhan 180 negara lain boleh memberi impak negatif kepada ekonomi negara.

"Semua agensi peneraju perlu lebih cakna dengan pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP)," katanya pada Rabu.

Menurutnya, GIACC sebagai penyelaras akan terus mempergiatkan gerakan pelaksanaan inisiatif dalam enam bidang keutamaan yang dinyatakan dalam NACP.

"GIACC yakin pelaksanaan penuh inisiatif secara agresif dan drastik akan memberi manafaat menyeluruh dalam menginstitusikan tadbir urus baik, integriti dan anti-rasuah di samping mampu memberi

impak kepada kedudukan Malaysia dalam penilaian CPI pada masa akan datang," katanya pada Rabu.

Ujar agensi itu, GIACC juga akan meneliti secara menyeluruh syor-syor yang telah dikemukakan oleh Transparency Malaysia (TI).

"Komitmen daripada semua amat penting dalam memastikan pelaksanaan NACP ke arah mencapai matlamat Keluarga Malaysia yang berintegriti tinggi dan bebas rasuah," katanya.

Artikel Berkaitan:

CPI Malaysia pada tahun 2021 dilapor jatuh sebanyak lima tangga daripada kedudukan 57.

Kedudukan CPI 2021 yang merosot lima anak tangga dipengaruhi skor yang dicatatkan menurun kepada 48 daripada 100 berbanding 51 yang direkodkan pada 2020.

Pada tahun 2020, CPI negara juga jatuh enam anak tangga daripada kedudukan 51 pada 2019.

Skor yang dilaporkan pada 2019 adalah 53, jadi skor CPI negara merosot sebanyak lima point dalam tempoh tiga tahun.