CPI 2021: Kegagalan reformasi institusi antara punca kedudukan merosot

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kegagalan untuk melaksanakan reformasi terhadap beberapa institusi di dalam negara menjadi antara punca menyebabkan kejatuhan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 yang dikeluarkan Transparency International (TI).

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, antara faktor menyumbang kepada isu tersebut adalah ketiadaan kehendak politik oleh parti kerajaan untuk membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Pendanaan Politik.

Katanya, kegagalan usaha mereformasi isu pendanaan terhadap politik negara itu membabitkan kesemua parti kerajaan sebelum ini iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

“Disebabkan itu, politik wang dilihat masih berleluasa sama ada ketika pilihan raya mahupun sebagai suatu skim rasuah,” katanya ketika membentangkan laporan CPI 2021 secara maya pada Selasa.

Kedudukan Malaysia dalam CPI 2021 jatuh lima anak tangga ke 62 daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga 57 pada 2020.

Muhammad berkata, kegagalan reformasi institusi juga boleh dilihat apabila cadangan RUU penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) telah disemak semula kepada RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang lemah dan tidak berkesan.

Pada masa sama, beliau berkata, cadangan reformasi terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh beberapa pertubuhan masyarakat civil termasuk TI-M juga didapati masih tidak dilaksanakan.

Mengulas lanjut, Muhammad berkata, faktor lain turut menyumbang kepada kejatuhan negara dalam CPI 2021 adalah pembebasan beberapa individu berprofil tinggi dalam beberapa kes rasuah dengan penjelasan sangat sedikit daripada Pejabat Peguam Negara.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dua kes salah guna kuasa berimpak tinggi membabitkan SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) juga masih belum selesai dibicarakan.

Pada masa sama, Muhammad berkata, penggantungan Parlimen pada tahun lepas turut memberikan kesan negatif terhadap prestasi CPI Malaysia memandangkan terdapat pakej rangsangan kewangan besar yang dilaksanakan tanpa perbahasan dan penelitian Dewan Rakyat.

“Jadi itu adalah beberapa faktor yang mungkin mempengaruhi skor CPI (Malaysia) di samping kurangnya kemahuan politik dalam bidang pentadbiran untuk memerangi rasuah institusi (institutional corruption),” ujarnya.

Faktor lain turut menyumbang kepada kemerosotan tersebut adalah pelantikan ahli politik tanpa pengalaman untuk mengetuai syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan; perkembangan terhad beberapa kes berprofil tinggi dan ketiadaan pembentangan RUU Perolehan Kerajaan di Parlimen.

Selain itu, kekurangan kemajuan terhadap pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010; dapatan kurang baik yang berterusan bagi isu tadbir urus dalam laporan tahunan Ketua Audit Negara dan kelembapan pelaksanaan pelbagai inisiatif dalam Rancangan Pencegahan Rasuah Nasional (NACP) juga antara faktor menyumbang kepada prestasi buruk CPI negara.

Sehubungan itu, Muhammad memberikan cadangan penambahbaikan boleh dilakukan antaranya mengurangkan skop Akta Rahsia Rasmi terhadap isu berkaitan kepentingan awam, meningkatkan tanggungjawab Ketua Setiausaha Negara terhadap peranan perkhidmatan awam dan penggunaan Piawaian Antarabangsa Mengenai Pakatan Integriti bagi Perolehan Kerajaan.

Turut disarankan ialah reformasi SPRM bagi menjadikannya benar-benar bebas dan melaporkan kepada Parlimen, pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk memasukkan sekatan terhadap rasuah dan memasukkan perkara Salah Laku di Pejabat Awam sebagai peruntukan dalam Akta SPRM.