JHEAINS pantau kumpulan Gerakan Akhir Zaman

Mohd Yusof
Mohd Yusof
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) akan melakukan intipan dan pemantauan terhadap ajaran 'mimpi' lelaki Pakistan yang disebarkan oleh kumpulan dikenali Gerakan Akhir Zaman (Gaza).

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, bagaimanapun setakat ini pihaknya masih belum mendapat maklumat wujud ajaran sesat baharu itu di Negeri Sembilan.

"Masyarakat diharap dapat menyalurkan maklumat jika ada dengar usaha menyebarkan ajaran baharu ini di Negeri Sembilan.

"Pihak JHEAINS sentiasa mengadakan intipan dan pemantauan berkenaan kes-kes ajaran sesat sama ada besar atau kecil," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, masyarakat Islam juga diminta berwaspada terhadap kemunculan ajaran sesat dan merujuk kepada pihak berautoriti jika ada yang meragukan.

Apa yang dikesalkan kata Mohd Yusof, kebanyakan mereka yang terpedaya dengan ajaran sesat merupakan orang berpendidikan dan berkerjaya.

"Masyarakat kita sekarang ini ramai cerdik pandai dan sepatutnya dapat bezakan sama ada yang diterima adalah ajaran sebenar atau sesat.

"Kalau rasa pelik, rujuk dulu dengan pihak yang mempunyai pengetahuan dalam bidang itu dan bukan menerimanya begitu saja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Mohd Yusof, pembawa ajaran sesat yang dilihat berwibawa atau mempunyai kedudukan pula dilihat antara faktor sesuatu ajaran itu mudah diterima.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, sebuah kumpulan yang mengajak orang ramai untuk mempercayai seorang lelaki dari Pakistan menerusi mimpinya mengenai akhir zaman telah mula bertapak di negara ini.

Kumpulan dikenali sebagai Gerakan Akhir Zaman (Gaza) itu berasal dari Indonesia dan dikatakan sedang membuat persiapan untuk akhir zaman berdasarkan mimpi Muhammad Qasim Abdul Karim yang mendakwa hanya mengikut kehendak ALLAH SWT di dalam mimpinya.

Sinar Harian pada Rabu menerima e-mel dari seorang lelaki tidak dikenali yang mengajak orang ramai untuk lebih mendekati gerakan tersebut.