Undi18: KPT berperanan sediakan mahasiswa matang dalam politik

Noraini (dua dari kanan) dan Roziah (kanan) pada gimik Pelancaran Buku Laporan Kajian DNA UiTM di Anjung Seri Budiman UiTM Shah Alam pada Khamis. - Foto Bernama
Noraini (dua dari kanan) dan Roziah (kanan) pada gimik Pelancaran Buku Laporan Kajian DNA UiTM di Anjung Seri Budiman UiTM Shah Alam pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berperanan menyediakan mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) yang matang dan berketerampilan dalam sudut pandangan politik susulan pelaksanaan Undi18.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, perkara tersebut penting kerana golongan itu perlu diterapkan dengan pemikiran serta pemahaman yang betul tentang suasana politik negara, termasuk mempersiapkan mereka sebagai pelapis kepimpinan negara.

"Bahkan dengan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada 2019 yang membuang Seksyen 15(2)(c), pelajar sewajarnya dibimbing untuk berpolitik di kampus sebagai praktikal terbaik sebelum mereka keluar ke medan masyarakat.

"Dalam laporan interim Kajian Memprofil Literasi Politik Pelajar IPTA yang dilaksanakan KPT tahun lepas, dapatan kajian menunjukkan bahawa literasi politik dalam kalangan pelajar boleh ditingkatkan lagi melalui pemantapan dan pengukuhan elemen nilai, iaitu penghayatan serta pelaksanaan dasar dan akta sedia ada di pelbagai peringkat,” katanya.

Katanya, 452,559 individu atau 38 peratus daripada 1.2 juta penuntut IPT di bawah seliaan KPT merupakan pengundi berumur antara 18 dan 20 tahun iaitu selari dengan kelulusan Dewan Rakyat berkenaan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang menurunkan had umur mengundi, pendaftaran pengundi automatik, dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun pada 16 Julai lepas.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) serta Pelancaran Buku Laporan Pembentukan Kajian DNA UiTM di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Noraini berkata, jalinan kerjasama antara UiTM dan SPR itu dilihat sebagai langkah proaktif universiti itu bagi menjayakan Program Kesedaran Pendidikan Pengundi dalam kalangan mahasiswa, iaitu projek perintis oleh KPT itu yang perlu diperluaskan ke IPT lain.

"Saya percaya dengan usaha berterusan dan kerjasama yang dilaksanakan dapat memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengundi yang menentukan masa hadapan negara, sekali gus mempersiapkan mereka sebagai barisan pelapis kepimpinan negara.

Artikel Berkaitan:

"UiTM adalah antara institusi terbesar di Malaysia dengan kapasiti 185,400 pelajar di seluruh negara. Daripada jumlah itu, 85,201 orang atau 46 peratus berusia antara 18 dan 20 tahun yang akan terlibat dengan pelaksanaan Undi18. Jumlah ini mewakili hampir 19 peratus daripada keseluruhan pelajar yang terlibat dengan Undi18 di semua IPT di bawah seliaan KPT,” katanya.

Sebelum itu, dalam majlis MoU tersebut, UiTM diwakili Naib Canselornya, Profesor Dr Roziah Mohd Janor, manakala SPR diwakili Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh. - Bernama