JPNP kesan aktiviti lombong bijih besi haram

Jengkaut yang dipercayai digunakan untuk melombong bijih besi secara haram di dalam Hutan Simpan Ibam turut disita untuk siasatan lanjut. -FotoJPNP
Jengkaut yang dipercayai digunakan untuk melombong bijih besi secara haram di dalam Hutan Simpan Ibam turut disita untuk siasatan lanjut. -FotoJPNP
A
A
A

ROMPIN - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) berjaya mengesan kegiatan melombong bijih besi secara haram di dalam kawasan Hutan Simpan Ibam, Muadzam Shah di sini pada Rabu.

Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) JPNP Nor Azirim Ahmad berkata, aktiviti haram itu berjaya dikesan dalam serbuan dijalankan Unit Penguatkuasaan Timur (UPKT) JPNP hasil aduan awam.

Menurutnya, dalam serbuan itu, anggota penguat kuasa menemui dan menyita sebuah jengkaut yang disyaki digunakan dalam kegiatan itu.

"Hasil semakan mendapati jentera itu berada dalam Hutan Simpan Ibam tanpa permit sah daripada JPNP dan dipercayai digunakan untuk mengangkat ketulan batu ke atas lori sebelum dipindahkan ke kawasan lain untuk diproses.

"Anggota UPKT turut menemui beberapa lubang di kawasan terbabit dipercayai kesan ketulan batu yang telah diambil," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Mengulas lanjut, Nor Azirim berkata, jengkaut yang disita itu disimpan sementara di Pejabat Renjer Hutan Muadzam Shah untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).

Beliau berkata, kes itu adalah yang pertama melibatkan pencerobohan kawasan hutan simpan bagi kegiatan melombong bijih besi secara haram di Pahang tahun ini.

Menurutnya, usaha mengesan pihak-pihak yang terlibat dalam kegiatan itu sedang dilakukan untuk tindakan selanjutnya.

Artikel Berkaitan:

"JPNP tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbukti melakukan kesalahan di mana tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang terlibat.

"Kami juga meminta kerjasama orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui kegiatan menceroboh hutan simpan dan memindahkan hasil hutan tanpa kebenaran," jelasnya.