Sarjan didakwa atas 42 tuduhan terima suapan wang

Tertuduh diiringi pegawai SPRM keluar dari ruang mahkamah selepas sebutan kesnya selesai dibacakan dalam Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini pada Khamis.
Tertuduh diiringi pegawai SPRM keluar dari ruang mahkamah selepas sebutan kesnya selesai dibacakan dalam Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN- Seorang anggota polis berpangkat sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuantan pada Khamis atas 42 tuduhan menerima suapan wang tanpa balasan daripada dua individu membabitkan nilai keseluruhan RM11,600.

Tertuduh, Abdul Ghafa Harun, 57 bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas semua pertuduhan.

Berdasarkan kertas pertuduhan dikemukakan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nadzirah Zahari, Abdul Ghafa yang ketika itu bertugas sebagai anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang didakwa menerima barang berharga iaitu wang tunai daripada dua individu yang diketahui ada kaitan dengan tugas rasminya.

Tertuduh didakwa menerima wang RM200 hingga RM600 daripada individu berkenaan dalam tempoh Jan 2017 hingga 3 Disember 2019 melalui pemindahan wang secara dalam talian ke akaun bank miliknya.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah cawangan bank di Jalan Beserah di sini.

Bagi semua tuduhan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Berikutan pengakuan tidak bersalah tertuduh, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 bagi semua pertuduhan.

Peguam, Fakhrul Redha Paridul Adras yang mewakili tertuduh dalam rayuannya memohon agar mahkamah mempertimbangkan jumlah jaminan paling minimum terhadap anak guamnya itu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tertuduh telah berkhidmat selama 38 tahun dan mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang.

"Tertuduh mempunyai pendapatan bersih kira-kira RM2,000 sebulan dan menyara isteri serta tiga orang anak.

"Tertuduh juga mempunyai masalah jantung dan penyakit kencing manis selain berdepan kemungkinan digantung tugas selepas ini," katanya.

Nadzirah bagaimanapun memohon mahkamah mempertimbangkan jumlah jaminan setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira jumlah pertuduhan yang dihadapi.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain dalam keputusannya mengekalkan jumlah jaminan RM10,000 selain meletakkan dua syarat tambahan kepada tertuduh.

Tertuduh diarah melapor diri di pejabat SPRM Pahang bermula Februari ini hingga kes selesai dan perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Beliau menetapkan 9 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes itu.