Belum ada permohonan kerjasama PN, PH dalam PRN Johor

Dari kanan Aminolhuda, Mohamad dan Hassan dalam Program Sarapan Pagi Bersama YB Mohd Sabu dan Pemimpin Masyarakat di Bandar Permas Jaya, Permas, Pasir Gudang, pada Khamis.
Dari kanan Aminolhuda, Mohamad dan Hassan dalam Program Sarapan Pagi Bersama YB Mohd Sabu dan Pemimpin Masyarakat di Bandar Permas Jaya, Permas, Pasir Gudang, pada Khamis.
A
A
A

PASIR GUDANG - Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) masih belum menerima permohonan Perikatan Nasional (PN) untuk bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presiden Parti Amanah Nasional (Amanah), Mohamad Sabu berkata, setakat ini perkara tersebut masih tidak dibincangkan dalam Majlis Presiden PH.

"PN tidak ada 'tajuk' lagi dalam perbincangan (Majlis Presiden PH). Kita masih dengan PH dan ada beberapa parti lain yang secara solo datang berbincang (untuk bekerjasama dengan PH).

"Namun keputusan masih belum dibuat berkenaan kerjasama itu," katanya dalam sidang akhbar di Bandar Permas Jaya di sini pada Khamis.

Turut hadir Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan yang juga Pengerusi Amanah Johor dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Pada Selasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor Bahru mencadangkan penubuhan Muafakat Rakyat Johor (MRJ) melibatkan PN dan semua parti pembangkang yang akan bertanding dalam PRN Johor.

Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Johor Bahru, Razrul Anwar Rusli mencadangkan MRJ terdiri daripada Bersatu, Pas, PH, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Sementara itu, Mohamad berkata, tiada masalah untuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggunakan logo sendiri manakala Amanah dan DAP menggunakan logo PH sekali gus menafikan keputusan itu akan menjejaskan kemenangan.

Jelas beliau, semua pihak dalam PH menghormati keputusan tersebut dan penggunaan dua logo berasingan itu bukan sesuatu yang baru kerana pembangkang sudah berbuat demikian sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Contohnya Pas dan Semangat 46 menggunakan logo sendiri semasa pilihan raya pada 1990, begitu juga PKR, Pas dan DAP mengunakan logo masing-masing pada 1999 selain pada 2013 kita guna logo berasingan, cuma pada 2018 baru kita guna satu logo.

"Jadi ini bukan satu masalah, pengundi sekarang mengetahuinya misalnya macam di Sarawak mereka gunakan logo GPS (Gabungan Parti Sarawak), simbol baru tapi orang kenal juga. Apatah lagi logo PKR yang sememangnya sudah dikenali ramai pihak," jelasnya.

"Apa yang penting kerjasama antara komponen PH. Jangan ada antara kita fikir PKR guna logo dia, kalau dia kalah pun takpe. Kita mesti memenangkan dan bantu semua calon PH kerana kalau PKR kalah, kita pun turut kalah," katanya.

Sementara itu, Hassan berkata, pimpinan PH di peringkat Pusat sudah membuat keputusan bijak untuk menghormati kehendak pengundi di peringkat akar umbi yang mahukan logo PKR diguna pakai dalam PRN Johor ini.

"Itu satu keputusan baik dan hanya merupakan satu aspek sahaja, sebaliknya apa yang lebih utama adalah kerjasama antara kesemua parti komponen dan kita akan pastikan semua parti bergerak secara bersama-sama," katanya.