Minimum empat kes Covid-19 tangguh perlawanan EPL

Anfield gelanggang keramat Liverpool antara kelab mewarnai saingan EPL. - Foto AFP
Anfield gelanggang keramat Liverpool antara kelab mewarnai saingan EPL. - Foto AFP
A
A
A
KELAB Liga Perdana Inggeris (EPL) boleh memohon penangguhan perlawanan sekiranya mempunyai sekurang-kurangnya empat kes positif Covid-19 dalam pasukan masing-masing, kata pengendali liga itu selepas mesyuarat wakil semua 20 kelab.

Sebanyak 22 perlawanan liga ditangguhkan musim ini berikutan wabak Covid-19, selain kekurangan para pemain sehingga menyaksikan pengendali liga dikritik beberapa kelab berhubung pengendalian krisis.

Sebelum ini, perlawanan boleh ditangguhkan sekiranya salah satu kelab tidak mempunyai 13 pemain dan seorang penjaga gol sama ada dalam kalangan senarai skuadnya atau pemain Bawah 21 tahun yang sesuai.

"Mesyuarat kelab hari ini, telah kemas kini panduan penangguhan perlawanan akibat Covid-19 Liga Perdana Inggeris dan maklumkan kesan wabak.

“Mulai sekarang, jika sesebuah kelab memohon penangguhan perlawanan atas alasan kekurangan pemain akibat Covid-19, mereka mesti mempunyai sekurang-kurangnya empat kes positif dalam skuad mereka,” kata liga itu dalam satu kenyataan.

Garis panduan baharu itu akan bermula menjelang perlawanan antara Burnley dan Watford pada 5 Februari depan.

Peraturan sebelum ini mendapat perhatian selepas beberapa kelab didakwa memanipulasi sistem menangguhkan perlawanan semasa musim perayaan.

Tottenham Hotspsur merupakan kelab paling lantang mengkritik berikutan penangguhan derbi London utara awal bulan ini, apabila menyifatkan tindakan pengendali liga menerima permohonan Arsenal untuk menangguhkan perlawanan selepas terdapat satu kes positif sebagai sesuatu yang mengejutkan.

Pada masa sama pengendali Chelsea, Thomas Tuchel dan rakan sejawatannya di Arsenal, Mikel Arteta juga meminta penjelasan lebih lanjut daripada pengendali liga mengenai penangguhan berkaitan Covid-19.
Artikel Berkaitan:


Pengendali liga menambah: "Permohonan kelab akan terus dinilai berdasarkan kes demi kes. Lembaga Liga Perdana Inggeris meneliti beberapa faktor, termasuk keupayaan kelab untuk menurunkan pasukan, status dan potensi kesan Covid-19".