Usaha rundingan Pas, UMNO tetap diteruskan

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

MARANG - Usaha ke arah proses rundingan bagi mencapai persefahaman antara Pas dan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tetap diteruskan.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, usaha itu akan diteruskan di Johor biarpun proses rundingan ketika PRN Melaka menemui jalan buntu.

"Seperti yang telah disebut Presiden Pas (Tan Sri Abdul Hadi Awang), kita akan terus berusaha bagi proses rundingan bersama UMNO.

"Dunia belum kiamat, insya-ALLAH, kita akan terus berusaha berunding," katanya ringkas pada sidang akhbar selepas majlis pecah tanah projek naik taraf Jambatan Marang di sini pada Selasa.

Isnin lalu, Pas Johor dalam sidang akhbar memaklumkan menghormati hasrat Barisan Nasional (BN) negeri itu yang mahu bertanding secara solo dalam PRN.

Ahmad Samsuri (tiga dari kanan) ketika menghadiri majlis pecah tanah projek naik taraf Jambatan Marang, Marang pada Selasa.
Ahmad Samsuri (tiga dari kanan) ketika menghadiri majlis pecah tanah projek naik taraf Jambatan Marang, Marang pada Selasa.

Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin bagaimanapun berkata, ruang untuk menjalin kerjasama dengan UMNO masih terbuka dalam PRN tersebut dan sebarang keputusan terletak atas pucuk pimpinan tertinggi parti.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas sedia bekerjasama dengan UMNO dalam PRN Johor malah parti berkenaan komited untuk mengadakan perbincangan dengan rakan Muafakat Nasionalnya (MN) itu.