Tuduhan guna plasebo dalam vaksin, KKM buat laporan polis

KKM berkata maklumat yang disampaikan di dalam sebuah rakaman video yang tular di media sosial adalah tidak benar.- Foto 123rf
KKM berkata maklumat yang disampaikan di dalam sebuah rakaman video yang tular di media sosial adalah tidak benar.- Foto 123rf
A
A
A

PUTRAJAYA- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat laporan polis berhubung dakwaan penggunaan plasebo dalam vaksin Covid-19 yang digunakan untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Malaysia.

Menerusi kenyataannya, KKM memaklumkan pihaknya juga membuat laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan selanjutnya.

Tegasnya, maklumat yang disampaikan di dalam sebuah rakaman video yang tular di media sosial adalah tidak benar.

"Semua produk farmaseutikal termasuk vaksin yang telah diluluskan oleh Pihak berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) adalah dihasilkan melalui pengilang yang mematuhi standard antarabangsa seperti Amalan Perkilangan Baik (GMP), Pharmaceutical Inspection Co-operation Scheme (PIC/S) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," katanya.

Ujar kementerian itu, bagi produk berdaftar, ia hanya mengandungi bahan aktif dan eksipien yang telah diperakukan oleh PBKD untuk dipasarkan dan bukan sejenis plasebo.

"Untuk makluman, penggunaan plasebo adalah merupakan satu keperluan dalam sesebuah kajian klinikal di mana ia merupakan intervensi yang tidak mengandungi komponen aktif dapat merawat atau mencegah sesuatu penyakit," katanya.

Jelas KKM, kumpulan penerima akan dibahagi secara rawak di mana satu kumpulan akan menerima bahan aktif dan satu lagi kumpulan menerima plasebo.

"Situasi ini hanya digunakan semasa kajian klinikal dan bukan dalam produk berdaftar kegunaan PICK," katanya.

Artikel Berkaitan:

KKM turut mempersoalkan pihak yang membuat tuduhan tersebut memperoleh sampel vaksin Covid-19 dan menjalankan ujian kandungan vaksin, sedangkan penjualan dan pembekalan vaksin Covid-19 hanya dibenarkan kepada kerajaan dan pihak yang dibenarkan oleh kerajaan sahaja.

"Selain itu, pengujian makmal bagi menjalankan identifikasi dan ujian potensi untuk vaksin memerlukan persekitaran, peralatan analisis khas serta validasi kaedah ujian khusus yang perlu diperolehi daripada setiap pengilang," katanya.

Dakwaan kandungan plasebo dalam vaksin Covid-19 terdiri daripada vaksin lain seperti flu dan hepatitis menyebabkan kurangnya kesan advers berlaku juga tidak tepat.

"Ini kerana kesan advers boleh berlaku susulan pengambilan mana-mana ubat-ubatan ataupun suntikan vaksin termasuk sekiranya ia adalah vaksin untuk penyakit flu atau hepatitis," katanya.

Berdasarkan pemantauan, KKM berkata, majoriti penerima vaksin Covid-19 tidak mengalami apa-apa kesan advers atau hanya mengalami kesan ringan sahaja.

"Tambahan pula, kesan advers bukan sahaja boleh disebabkan oleh produk vaksin tersebut malah proses suntikan itu sendiri boleh menyebabkan kesan seperti peningkatan degupan jantung, pengsan dan sebagainya. Ini kebiasaannya akibat perasaan cemas dan bimbang di kalangan penerima vaksin," katanya.

KKM bagaimana mengakui terdapat segelintir penerima vaksin yang mengalami kesan advers.

"Oleh itu, orang awam juga dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan dengan segera sekiranya mengalami kesan advers serius susulan suntikan vaksin Covid-19 di mana-mana fasiliti kesihatan yang berhampiran," katanya.