MPT Pejuang akan pertimbang cadangan tanding 42 kerusi

Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Marzuki)
Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Marzuki)
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan mempertimbangkan cadangan parti tersebut untuk bertanding 42 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya berkata, cadangan tersebut akan dikaji dahulu dan masih belum ada perbincangan di peringkat tertinggi.

“Kita (Pejuang) hanya menunggu tarikh penamaan calon dan apa-apa tarikh pembuangan undi yang akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang difahamkan akan mesyuarat pada 9 Februari ini.

“Saya dimaklumkan oleh kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pejuang Johor, Datuk Dr Saharuddin Mohd Salleh yang menyatakan akan bertanding sebanyak 42 kerusi.

“Itu adalah cadangan yang dibuat oleh pimpinan di peringkat Johor dan kita akan mengkaji perkara ini dan masih belum berbincang di peringkat tertinggi,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Youtube pada Rabu.

Mengulas lanjut, Marzuki berkata, Pejuang akan berdiri dengan sendiri tanpa terlibat dengan mana-mana parti sama ada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, walaupun desas-desus mengatakan terpaksa berhadapan dengan banyak penjuru tetapi ketiga-tiga parti itu sebahagian daripada kerajaan.

“Walaupun dilihat PH bukan dalam senarai kabinet tetapi mereka juga adalah sebahagian daripada kerajaan dan juga kerajaan di negeri Johor itu.

Artikel Berkaitan:

“Kalau kita lihat kedudukan Speaker itu juga datang daripada PH dan Timbalan Speaker datang dari DAP maka ini membuktikan bahawa mereka adalah kerajaan.

“Maka sebab itu desas desus mengatakan kita pembangkang harus bersatu sebenarnya pembangkang adalah Pejuang sahaja,” jelasnya.

Ujar beliau, Pejuang berdiri dengan semangat perjuangan terutama untuk memperjuangkan nasib orang Melayu dan juga seluruh rakyat di negara ini terutama di Johor.

Tambahnya, walaupun Pejuang adalah Parti Melayu tetapi mereka ingin menjadikan kerajaan adalah kerajaan Nasional yang bersama dengan semua kaum untuk memastikan kedudukan bangsa, agama dan negara terbela.

“Ini adalah berlandaskan kerana prinsip yang tinggi yang dibawa oleh Tun M dengan keadaan polemik politik sekarang yang mana telah hancur dan rosak akibat salah guna kuasa daripada rasuah yang mana hari ni kita lihat telah menjadi satu trend yang cukup buruk sehingga negara juga dilihat sebuah negara kleptokrat.

“Ini amat memalukan terutama kita di Malaysia tetapi juga rakan kita di luar negara banyak telah menggambarkan kita harus memulihkan negara ini kembali.

“Maka sebab itu Pejuang tetap berdiri dengan prinsipnya walaupun kita mengakui bahawa kalau persetujuan kita untuk memasuki PRN Johor ini adalah satu cabaran besar kerana kita adalah parti baharu.

“Tetapi saya berharap bahawa semua ahli dan penyokong Pejuang mengambil ini sebagai satu perjuangan demi menebus maruah orang Melayu di Malaysia ini,” katanya.