MBSJ tanam cerucuk sementara di kawasan runtuhan

Pihak MBSJ mengambil tindakan segera dengan menanam cerucuk sementara di sepanjang kawasan tanah mendap di Jalan LP1A/2 Lestari Perdana, Bandar Putra Permai di sini.
Pihak MBSJ mengambil tindakan segera dengan menanam cerucuk sementara di sepanjang kawasan tanah mendap di Jalan LP1A/2 Lestari Perdana, Bandar Putra Permai di sini.
A
A
A

SERDANG - Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengambil tindakan segera dengan menanam cerucuk sementara di sepanjang kawasan tanah mendap di Jalan LP1A/2 Lestari Perdana, Bandar Putra Permai di sini.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MBSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, tindakan itu bertujuan menahan pergerakan tanah bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku.

"MBSJ mengambil langkah segera dengan menanam cerucuk kepingan sementara sepanjang 150 meter di kawasan runtuhan.

"Kerja-kerja pemasangan ini telah mula dilaksanakan pada jam 1 pagi dan dijangka mengambil masa selama tujuh hari sebelum kerja-kerja pembaikan sebenar dilaksanakan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, MBSJ sedang mengenalpasti punca kegagalan struktur tebing yang runtuh itu.

"Kita akan mengadakan perbincangan dan kajian menyeluruh bersama agensi yang berkaitan termasuk Kumpulan Ikram Engineering Services Sdn Bhd dalam masa terdekat.

"Kerja-kerja pembaikan menyeluruh tebing ini dijangka siap dalam tempoh tiga bulan," katanya.

Azfarizal berkata, sebanyak 17 premis komersial di lokasi kejadian telah diarahkan untuk memberhentikan operasi dan mengosongkan premis sebagai langkah-langkah keselamatan.

Artikel Berkaitan:

"Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Petaling, anggota penguat kuasa dan pasukan Pantas MBSJ telah melakukan kawalan 24 jam bagi memantau lokasi kejadian.

"Langkah ini bagi mengenalpasti sekiranya terdapat sebarang pergerakan tanah yang boleh menimbulkan bahaya atau kejadian berulang," katanya.

Katanya, orang awam dilarang untuk memasuki kawasan yang terjejas.

"Pemilik premis yang ingin memasuki kawasan tersebut diarahkan untuk melaporkan diri di Pos Kawalan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berada di kawasan berhampiran," katanya.

Pada Selasa, sebanyak lima kenderaan yang diletakkan berhampiran rumah kedai di Jalan LP 1A/2 Lestari Perdana di sini rosak selepas tanah mendap berlaku di kawasan berkenaan dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang.