Najib mohon lebih masa

Najib
Najib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak memohon kepada Mahkamah Persekutuan di sini pada Selasa, agar diberikan lebih masa untuk membekalkan rekod rayuan kepada Queen's Counsel (QC) di London, selepas menerimanya daripada Mahkamah Rayuan.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri itu berkata, ia susulan hasrat anak guamnya untuk menggunakan khidmat QC bagi mewakilinya dalam rayuan akhir sabitan hukuman kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd kelak.

Untuk rekod, QC ialah peguam kanan senior dan berpengalaman dari United Kingdom (UK).

Muhammad Shafee berkata, penggunaan khidmat QS dalam rayuan itu diperlukan kerana ia membabitkan isu serta persoalan perundangan yang kompleks.

"Memandangkan kebanyakan dokumen disediakan dalam bahasa Melayu, maka kami memerlukan dokumen-dokumen itu diterjemahkan ke bahasa Inggeris, sebelum taklimat kepada QC dapat dibuat secara fizikal.

"Maka, kami memohon pertimbangan baik Yang Arif (Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat) bagi suatu tempoh wajar untuk mendengar rayuan utama dan rayuan bukti tambahan dengan jurang masa yang lebih panjang.

Muhammad Shafee berkata demikian dalam suratnya yang dialamatkan kepada Setiausaha Tengku Maimun pada Selasa, bagi memohon pertimbangan supaya diberikan suatu tempoh masa yang wajar untuk mendengar rayuan akhir Najib.

Selain itu, Muhammad Shafee berkata, tidak mungkin bagi pihaknya dapat membuat persediaan kerana masa yang diberi kurang daripada dua bulan selepas Mahkamah Rayuan memberikan keputusan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul ketika dihubungi, mengenepikan pihak pendakwaan menerima salinan surat itu melalui emel, pada jam 5.33 petang Selasa.

Dalam surat berkenaan, Mohd Ashrof berkata, peguam utama Najib memaklumkan mereka tidak merasakan bahawa tarikh pendengaran boleh dijalankan pada April, Mei atau Jun.

Bagaimanapun katanya, pihak pembelaan tidak membantah, tarikh pendengaran rayuan bagi memasukkan bukti tambahan, dipersetujui pada tarikh yang ditetapkan sebelum ini, iaitu pada 15 dan 16 Mac depan.