Mat Sabu gesa PH kembali pada gagasan khemah besar

Mat Sabu
Mat Sabu
A
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) digesa untuk kembali kepada konsep pembentukan khemah besar sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang akan datang.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, konsep khemah besar yang diluluskan melalui Retreat Pakatan Harapan (PH) di Port Dickson sebelum ini, tidak wajar sekadar menjadi slogan, idea dan pendekatan semata-mata.

“Pendekatan baik ini perlu pengisian dengan pelan tindakan yang berkesan. Hakikatnya gagasan dan pendekatan inilah yang menjayakan usaha kita semasa PRU14.

“Jika dahulu kita bermula sebagai sebuah parti kecil baharu yang ditubuhkan, tetapi hasil muafakat bersama PH, strategi dan usaha yang sama-sama kita jalankan berjaya melakar sejarah negara apabila buat pertama kalinya setelah 60 tahun merdeka, UMNO dan gabungannya berjaya ditumbangkan,” katanya ketika Konvensyen Nasional 2021 Parti Amanah yang diadakan secara dalam talian pada Ahad.

Mengulas lanjut mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, beliau lebih dikenali sebagai Mat Sabu menyifatkan kegagalan mereka dalam PRN Melaka dan Sarawak sebelum ini berlaku kerana hilangnya sifat keterbukaan parti komponen dalam PH.

“Kegagalan dalam PRN Melaka dan Sarawak pastinya banyak mengajar kita, Amanah dan PH mesti berani membuat perubahan demi kesinambungan perjuangan kita.

“Malangnya kita telah hilang sifat keterbukaan dan kesanggupan memperbanyak rakan, inilah sebabnya prestasi buruk kita dalam PRN Melaka dan Sarawak,” ujarnya,

Pada Sabtu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor (DUN) untuk memberi laluan kepada PRN.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, timbul desas desus PRN Johor bakal diadakan susulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang meninggal dunia pada 21 Disember lalu menjadikan kerajaan pimpinan UMNO hanya memiliki majoriti satu kerusi dalam DUN Johor.

Mat Sabu menegaskan PH perlu merangka strategi dan pendekatan yang lebih berkesan untuk PRU15 nanti.

“Walaupun kita tidak setuju PRN Johor diadakan, namun terpaksa menghadapinya, maka biarlah kita manfaatkan untuk merangka dan menguji strategi serta pendekatan yang lebih mampu menjamin kemenangan.

“Dengan ini membantu kita untuk menetapkan strategi dan pendekatan yang berkesan untuk PRU15 nanti,” jelas beliau.