Sila log masuk terlebih dahulu.

Pemandu e-hailing hilang ditemui lemah berhampiran kubur orang asli

Rocky bersama pengendali K9 Kontinjen Perak yang membantu menemukan seorang pemandu e-hailing yang dilaporkan hilang.
Rocky bersama pengendali K9 Kontinjen Perak yang membantu menemukan seorang pemandu e-hailing yang dilaporkan hilang.
A
A
A

GOPENG - Kecekapan seekor anjing pengesan membawa kepada penemuan seorang pemandu e-hailing dalam keadaan lemah dan kelaparan di atas bukit berhampiran kawasan perkuburan orang asli di Ulu Geruntum dekat sini pada Isnin.

Anjing jantan jenis German Shepherd diberi nama Rocky dari Unit Anjing Pengesan (K9) Kontinjen Perak itu dibawa bagi membantu polis mengesan lelaki berusia 32 tahun terbabit selepas dilaporkan hilang dengan meninggalkan kenderaan di perkampungan orang asli Sungai Kapur yang jaraknya lebih 18 kilometer dari pekan Gopeng.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, kejadian itu dimaklumkan oleh seorang tok batin selepas mengesan kereta jenis Proton Saga milik mangsa ditinggalkan dalam keadaan tidak berkunci di situ sejak Ahad.

Menurutnya, semakan kemudiannya mendapati, terdapat beberapa barangan peribadi milik mangsa seperti kad pengenalan, telefon bimbit dan pasport antarabangsa ditinggalkan dalam kereta berkenaan.

"Pemeriksaan kompol pada nombor chasis kenderaan dan kad pengenalan diri mangsa didapati tiada apa-apa kesalahan mahupun rekod lampau.

"Polis kemudiannya telah membuat semakan dengan syarikat e-hailing untuk mengetahui butir-butir tugasan terakhir pemandu itu dan dalam masa sama, adik kepada mangsa telah menghubungi telefon bimbit mangsa.

"Anggota polis yang menjawab panggilan itu dimaklumkan bahawa mangsa yang beralamat dari Ayer Hitam, Pulau Pinang tidak pulang ke rumah," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Susulan daripada maklumat itu, satu operasi mencari dan menyelamat digerakkan membabitkan 20 anggota dan orang awam dengan bantuan seekor anjing K9 ke lokasi kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Nazri berkata, satu laporan polis berhubung kehilangan mangsa juga telah dibuat dan adik mangsa telah dipanggil ke lokasi kejadian membawa bersama pakaian, cadar dan tuala milik lelaki itu bagi membantu anjing pengesan.

Katanya, tidak sampai dua jam operasi dijalankan, anjing pengesan berusia empat tahun itu berjaya mengesan mangsa di kawasan bukit berdekatan perkuburan orang asli iaitu kira-kira 700 meter dari tempat kenderaan ditinggalkan.

"Mangsa ditemukan sekitar jam 2.30 petang dalam keadaan selamat, namun kelihatan lemah dan kelaparan.

"Mangsa kemudiannya dibawa keluar dari lokasi dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Beliau berkata, tindakan segera yang diambil dalam usaha mencari dan menyelamat itu dapat mengelak kejadian tidak diingini berlaku.