Kutipan zakat harta Pahang meningkat

Hassan (depan kanan) menyerahkan replika bayaran zakat TNB kepada Tengku Hassanal (depan kiri) pada majlis penyerahan zakat perniagaan di Hotel Grand DarulMakmur, Kuantan pada Selasa.
Hassan (depan kanan) menyerahkan replika bayaran zakat TNB kepada Tengku Hassanal (depan kiri) pada majlis penyerahan zakat perniagaan di Hotel Grand DarulMakmur, Kuantan pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang merekodkan peningkatan dalam kutipan zakat harta sebanyak RM178 juta, tahun lalu berbanding RM158.2 juta pada 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, jumlah kutipan tahun lalu melebihi sasaran ditetapkan dan satu pencapaian membanggakan walaupun kempen zakat secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan PKZ.

"Kategori tertinggi zakat harta adalah daripada zakat pendapatan berjumlah RM86.6 juta membabitkan seramai 75,710 pembayar.

"Kategori kedua terbesar melibatkan pembayar zakat harta iaitu daripada zakat perniagaan yang meliputi perniagaan-perniagaan kecil sehinggalah badan-badan Korporat," katanya.

Beliau berucap demikian di hadapan pemberita dan penerima anugerah di majlis penyerahan zakat perniagaan dan anugerah zakat yang di sempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah di Hotel Grand DarulMakmur di sini pada Selasa.

Sebanyak 12 badan korporat telah menunaikan zakat perniagaan masing-masing yang keseluruhan berjumlah RM19.3 juta.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak.

Beliau menjelaskan peningkatan zakat adalah penting bagi memastikan asnaf zakat di semua peringkat dan daerah dapat dibantu.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, lebih 95,000 pembayar zakat pada lalu telah menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam membayar zakat.

"MUIP merakamkan penghargaan kepada badan-badan korporat di luar Pahang yang turut menyumbang bayaran zakat ke negeri ini berdasarkan urusniaga yang dihasilkan dari negeri ini seperti Lembaga Tabung Haji, bank-bank, FGV Group, pertubuhan peladang, Tenaga Nasional Berhad dan lain-lain syarikat," katanya.

Bagi prestasi agihan zakat, Ahmad Hairi berkata, MUIP telah mengagihkan zakat sebanyak RM177.4 juta kepada 173,000 penerima yang terdiri daripada golongan asnaf pada tahun lalu.

Jelasnya, antara penerima besar bantuan zakat adalah Asnaf Fakir Miskin yang telah menerima sebanyak RM75.juta daripada 126,000 penerima.

"Sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 tahun lalu, MUIP telah memperuntukkan RM15.3 juta (58,135 penerima) bagi membantu mereka yang terkesan ekonomi keluarga akibat hilang pekerjaan atau tidak boleh bekerja.

"Pihak MUIP juga telah mengeluarkan peruntukan sebanyak RM9 juta kepada mangsa banjir yang terkesan akibat banjir besar yang melanda Pahang pada akhir tahun lalu," katanya.