Pelajar cedera didakwa dipukul senior

Mangsa mengalami kecederaan didakwa dipukul pelajar senior pada Sabtu lalu.
Mangsa mengalami kecederaan didakwa dipukul pelajar senior pada Sabtu lalu.
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Gara-gara rokok elektronik, seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di negeri ini, mendakwa dibuli sekumpulan pelajar senior pada Sabtu lalu.

Abang kepada pelajar berusia 17 tahun itu, mahu dikenali Shukryn berkata, kejadian itu terbongkar selepas adik bongsunya memaklumkan kepada isteri sebelum dia melihat gambar keadaan depan serta belakang badan mangsa yang mengalami kecederaan melalui aplikasi WhatsApp.

Menurutnya, bergegas ke asrama mangsa dan kemudian bertemu salah seorang warden untuk membawa adiknya ke Hospital Melaka bagi membuat pemeriksaan serta laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Katanya, sebelum kejadian adiknya mendakwa dipanggil masuk ke sebuah bilik yang terdapat lebih 10 orang senior dan mereka menyoalnya berkaitan rokok elektronik sebelum ditumbuk di perut dan dipukul secara beramai-ramai.

"Adik turut mendakwa ditendang dengan kasut but dan lebih kasihan dia terpaksa menahan kesakitan dan tiada rakan-rakan yang memaklumkan perkara ini kepada pihak atasan kerana takut.

"Saya terkilan pihak sekolah tidak membawa adik membuat pemeriksaan kesihatan selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu," katanya kepada Sinar Harian di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Shukryn berkata adiknya yang ketika itu dalam keadaan lemah dan kesakitan turut dipercayai dipaksa berlawan dengan seorang senior yang tidak dikenali sehingga mengalami bengkak di badan dan luka di kaki.

Ujarnya, jika benar adiknya bersalah, memukul bukan cara untuk memberi pengajaran kepada mangsa hingga alami trauma.

Artikel Berkaitan:

"Saya harap kesemua pelaku menerima hukuman setimpal dan ingatlah nyawa manusia tidak boleh dijual beli.

"Moga apa yang berlaku kepada adik saya menjadi iktibar kepada orang lain, pihak sekolah sewajarnya pandang serius kes buli dan bukannya cuba untuk merahsiakan," ujarnya turut memberitahu adiknya pernah alami tekanan perasaan selepas pemergian ibu dua tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan menerima laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Exco Pendidikan dan Teknologi Datuk Rais Yasin berkata, akan mendapatkan maklumat lanjut berkenaan kes itu terlebih dahulu sebelum sebarang kenyataan dikeluarkan.