Guru perlu profesional elak masam muka kerana politik

Sekolah sewajarnya menjadi tempat bebas politik kepartian dari agenda mana-mana parti. - Gambar hiasan 123rf
Sekolah sewajarnya menjadi tempat bebas politik kepartian dari agenda mana-mana parti. - Gambar hiasan 123rf
A
A
A

SEREMBAN- Guru dan petugas Institut Latihan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) perlu profesional dan tahu membezakan tugas sebagai guru dan aktivis politik.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan berkata, ini bagi mengelakkan mereka bermasam muka akibat perbezaan pandangan politik.

"Kami berharap kebenaran ini tidak mengganggu tugas hakiki seorang guru iaitu memberikan pendidikan yang terbaik kepada murid- murid serta mengelakkan sekolah dijadikan medan politik.

"Sekolah sewajarnya menjadi tempat bebas politik kepartian dari agenda mana-mana parti. Keutamaan guru melaksanakan tugas keguruan dan kependidikan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Katanya, iGuru bagaimana pun mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berhubung kebenaran itu atas semangat prinsip demokrasi.

"Justeru, kami meminta kebenaran ini melalui surat pekeliling rasmi dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memudahkan perkara ini dan kejelasan dari sudut prosedur dan syarat kebenaran berpolitik," katanya.

Dalam pada itu, pihaknya turut melahirkan kebimbangan sekiranya kebenaran ini tidak dikawal dan diurus selia mengikut tatacara dan syarat tertentu ia akan mengakibatkan tugas profesionalisme guru diabaikan.

"Kami bimbang guru menjadi alat perkakas politik politik demi kepentingan politik tertentu.

Artikel Berkaitan:

"Sekali lagi, iGuru menggesa kebenaran ini perlu dilaksanakan dengan tidak mengganggu tugas hakiki profesion perguruan dan menjaga etika penjawat awam," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan memutuskan untuk membenarkan guru dan petugas Kemas kembali berpolitik dan arahan berkenaan berkuat kuasa serta-merta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebelum ini ada pekeliling yang menyekat guru dari berpolitik dan ramai pendidik diberikan amaran dan diambil tindakan.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Mohd Azizee berkata, iGuru mencadangkan selain dibenarkan guru berpolitik, agar dibenarkan juga diberikan guru DG41-DG 48 yang berjawatan untuk aktif dalam kesatuan dengan mengubah Akta Sekerja 1959.

"Kami juga berharap tumpuan utama kerajaan ialah menaik taraf guru Kemas kepada skim pencen dan juga guru-guru guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) demi membela nasib mereka," katanya.