X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

Lebih ramai pemimpin DAP Pulau Pinang akan sertai Warisan: Jeff Ooi

Dari kiri, Martin, Heng Kiang dan Jeff Ooi menunjukkan data analisis pengundi pada sidang akhbar pada Isnin.
A
A

GEORGETOWN - Parti Warisan Sabah (Warisan) Pulau Pinang mengesahkan akan lebih ramai lagi pemimpin DAP negeri menyertai parti tersebut selepas ini bagi memberi saingan sengit dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Koordinatornya, Jeff Ooi Chuan Aun berkata, selain itu, tokoh politik, ahli korporat serta golongan profesional juga akan menyertai Warisan selepas ini.

Menurutnya, pengumuman rasmi mengenai penyertaan itu akan dibuat dalam masa terdekat.

"Dalam percaturan politik dan strategi kita, memang akan ada lagi pemimpin dari DAP akan menyertai (Warisan) dan akan diperkenalkan seorang demi seorang nanti. Bagaimanapun, saya tiada kuasa untuk mendedahkan identiti mereka untuk waktu ini.

"Bukan sahaja dalam kalangan pemimpin DAP, kita juga akan menampilkan penyertaan ahli korporat dan golongan profesional yang menyertai Warisan Pulau Pinang.

"Selain itu, kita akan menumpukan kepada golongan muda kerana syarat yang ditetapkan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mesti tidak kurang daripada 50 peratus penyokong dari golongan muda," katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel di Jalan Macalister, di sini pada Isnin.

Turut hadir, dua ahli Warisan, Martin Lim dan Datuk Danny Law Heng Kiang.

Heng Kiang merupakan bekas ahli DAP selain pernah menyandang jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lanchang dan Exco Pelancongan Kerajaan Pulau Pinang sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Jelutong turut memberi bayangan bahawa Warisan akan bertanding di semua 13 kerusi Parlimen dan 40 Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya umum nanti.

"Kita akan 'all out'. Sasaran kita adalah di semua kerusi DUN dan Parlimen kerana ia akan memberi kekuatan kepada Warisan di peringkat pusat. Kita kena menang sebanyak mungkin (kerusi) dalam PRU15 nanti.

"Ini kerana, semua kerusi adalah penting untuk Warisan, sama ada DUN atau Parlimen. Mengenai strategi, kita masih di peringkat menganalisis dan penilaian data yang kita perolehi.

"Kita akan melakukan strategi serampang dua mata, tiada satu kerusi (Dun atau Parlimen) akan dibiarkan dalam pilihan raya akan datang," katanya.

Ditanya mengenai pemilihan Warisan sebagai parti baharu yang disertai, Jeff Ooi berkata, pergolakan politik sejak Pakatan Harapan (PH) memimpin negara pada 2018 sehingga kini mula membuka mata mereka bertiga.

Kata beliau, keadaan politik yang kucar kacir sehingga menggugat ekonomi negara sekali gus memberi kesan kepada pelabur yang mengambil langkah 'tunggu dan lihat'.

"Negara sudah hilang kemantapan politik. Selain itu, sejak PH jatuh, kita juga tak nampak arah tuju, tak jelas antara komponen parti. Baik PH mahu pun Perikatan Nasional (PN).

"Untuk balik semula kepada PH mungkin susah sebab kami dulu seperti tidak diberi ruang dan peluang untuk bergerak atau memberi sumbangan terhadap perubahan politik negara," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!