Pas hormat keputusan UMNO Kelantan tidak mahu teruskan MN

Zulkifle (depan kanan) menyampaikan zakat berjumlah RM200,000 kepada Ab Aziz (kiri) sambil disaksikan Ahmad (belakang tengah) di Nilam Puri, Kota Bharu pada Ahad.
Zulkifle (depan kanan) menyampaikan zakat berjumlah RM200,000 kepada Ab Aziz (kiri) sambil disaksikan Ahmad (belakang tengah) di Nilam Puri, Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Pas Kelantan menghormati keputusan UMNO di negeri ini yang sudah tidak mahu bersama dengan parti itu dalam meneruskan Muafakat Nasional (MN).

Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, Pas bagaimanapun mengulangi pendirian mereka tetap mahu meneruskan kerjasama antara kedua-dua parti itu demi perpaduan orang Melayu dan Islam sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ahmad
Ahmad

Katanya, dalam perbincangan dengan Biro Politik UMNO Kelantan pada Sabtu, Pas mohon supaya hubungan itu tidak diputuskan kerana melihat pada keadaan semasa hubungan baik antara Pas dan UMNO serta diterima oleh masyarakat.

“UMNO yang memutuskan hubungan dengan Pas dan kita tidak boleh berbuat apa-apa, kita secara mesra memahami UMNO memutuskan perkara itu berlandaskan faktor Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Itu pendirian dalaman UMNO, namun pendirian kita masih lagi mahu bersama dalam MN bagi memperkasakan Perikatan Nasional (PN) dan pendirian kita hendak melihat perpaduan dalam kalangan Melayu dan Islam yang sangat penting sekarang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Dua Dekat Penubuhan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) di Nilam Puri di sini pada Ahad.

Hadir sama, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah; Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Adat dan Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Zulkifle Ab Rahman dan Rektor KIAS, Profesor Dr Ab Aziz Mohd Zin.

Artikel Berkaitan:

Mengulas berhubung keputusan UMNO Kelantan yang akan bergerak secara solo pada PRU15 atas nama Barisan Nasional, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan itu menegaskan tidak mahu pertembungan tiga penjuru pada pilihan raya itu.

“Kita berhasrat untuk teruskan bersama dengan UMNO sehingga ke PRU15 nanti. Keputusan UMNO bertanding pilihan raya, kita tidak boleh berbuat apa-apa dan itu memang permainan politik kalau sudah tidak bersama.

“Tetapi atas dasar perpaduan orang Melayu dan Islam, kita tidak mahu tiga penjuru dan masih lagi nak dua penjuru,” katanya.

Tegas beliau, Pas sentiasa membuka ruang untuk memupuk kesatuan dan perpaduan selain berkomunikasi secara lebih baik dengan parti itu walaupun tidak bersama.

“Kita memang sentiasa bersedia berjumpa mereka kerana yang ‘berat’ bagi UMNO adalah Bersatu.

“Usaha perpaduan tetap diteruskan dan menjadi tanggungjawab sebagai Islam untuk melaksanakan perpaduan,” katanya.

Akhbar pada Sabtu melaporkan UMNO Kelantan membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Pas negeri berkuat kuasa serta-merta.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub mengumumkan keputusan itu selepas pertemuan antara Biro Politik UMNO Kelantan dan Dewan Harian Pas Kelantan didakwa gagal mencari kata putus berhubung kerjasama kedua-dua parti dalam MN.