X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

Kemenangan United adalah kemenangan ‘terbaik’

Gol tunggal perlawanan jaringan Rashford menyaksikan United kini melonjak pada tangga keempat EPL. - Foto Getty Images
A
A

PENGENDALI interim Manchester United, Ralf Rangnick menyifatkan kemenangan 1-0 ke atas West Ham pada Sabtu sebagai kemenangan ‘terbaik.’

Menurut Rangnick, kemenangan yang terhasil menerusi jaringan saat-saat akhir perlawanan sememangnya akan dilihat sebagai detik kemenangan terbaik kerana pihak lawan sudah pasti tidak mampu untuk bangkit.

“Sekiranya gol dijaringkan pada saat-saat terakhir perlawanan, ia sudah pasti menjadi detik kemenangan terbaik.

“Kali ini, ia berlaku ketika kami berdepan West Ham apabila gol tunggal perlawanan hanya berjaya dijaringkan pada masa kecederaan.

“Apa pun, kami memang berhak menang, terutamanya atas segala kerja keras yang dilakukan pemain di sepanjang perlawanan,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, pemain gantian Marcus Rashford mudah menolak masuk lorongan Edinson Cavani pada masa kecederaan bagi memastikan kemenangan skuad The Red Devils itu.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan United melonjak pada kedudukan keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 38 mata setelah mengharungi 22 perlawanan setakat ini.

Sementara itu, Rangnick turut berpuas hati dengan aksi dipamerkan benteng pertahanan United di sepanjang perlawanan bagi mengekang asakan-asakan The Hammers.

Malah katanya, kesabaran pemain yang dilihat tidak jemu melancarkan asakan bagi merobek gawang pelawat juga dilihat berbaloi apabila berjaya menghasilkan jaringan pada lewat perlawanan.

“Pemain dilihat mula bangkit pada perlawanan ini dan untuk tempoh rehat yang ada sebelum pusingan keempat Piala FA menentang Middlesbrough pada 4 Februari nanti, akan kami manfaatkan sebaik mungkin bagi memantapkan pasukan,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!