Insiden Christchurch jenayah ke atas kemanusiaan sejagat

Dr Wan Salim Wan Mohd Noor
Dr Wan Salim Wan Mohd Noor
A
A
A

SHAH ALAM - Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor mengecam tindakan pembunuhan beramai-ramai di dua masjid di Christchurch, New Zealand ketika jemaah sedang bersolat Jumaat sehingga mengorbankan 49 nyawa dan puluhan yang lain cedera.

Beliau berkata, perbuatan pengganas ini sangat kejam dan kejadian ini boleh dianggap sebagai jenayah ke atas kemanusiaan sejagat serta bercanggah dengan prinsip masyarakat bertamadun.

“Kita berpandangan bahawa tindakan-tindakan ganas ini berpunca daripada sikap dan pandangan yang ekstrem baik yang berkaitan dengan agama mahupun bangsa.

“Pemimpin politik, sosial, akademik dan agama mesti menunaikan tanggungjawab masing-masing untuk mengubah pola pemikiran masyarakat supaya lebih inklusif dan toleran serta memupuk hubungan yang harmoni dalam hubungan antara kaum dan penganut pelbagai agama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, sikap saling menghormati dan bertolak ansur antara sesama warga sesebuah negara mesti sentiasa disuburkan bagi menggantikan sikap fanatik kepada kaum dan agama.

Wan Salim berkata, Islam mengajar umatnya berbaik-baik dengan penganut agama-agama lain yang tidak memusuhi mereka.

“Islam juga menegaskan bahawa perbezaan pegangan agama adalah perkara tabi'ie dan tidak seharusnya menjadi faktor yang membawa kepada permusuhan atau perbalahan,” katanya.

Justeru, beliau menggesa masyarakat antarabangsa supaya mengambil langkah lebih tegas untuk mencegah peristiwa menyayat seperti ini daripada berulang.

Artikel Berkaitan:

Semalam, seorang lelaki warga Australia yang bersenjatakan raifal automatik melepaskan tembakan rambang di Masjid Al-Noor kepada jemaah yang sedang menunggu untuk bersolat Jumaat dan kira-kira empat jam kemudian, pengganas itu juga dilaporkan melepaskan tembakan di Masjid Linwood yang terletak berhampiran Masjid Al-Noor.

Serangan di Masjid Al-Noor itu turut disiarkan secara langsung di media sosial dan kelihatan seperti satu permainan video atas talian .

Lelaki berkenaan disyaki menjadi penyerang utama dipercayai melakukan misi membalas dendam terhadap ribuan kematian di Eropah.