Pasukan baharu GPS Sibu turun padang selesai masalah rakyat

Dr Annuar
Dr Annuar
A
A
A

SIBU - Satu pasukan dianggotai empat wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan seorang Ahli Dewan Negara dikenali sebagai `A New Team For A New Sibu’ akan turun padang dalam masa terdekat untuk mencari penyelesaian bagi masalah yang dihadapi masyarakat setempat.

Pasukan itu dianggotai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapaee; ADUN Pelawan Michael Tiang; ADUN Bukit Assek Joseph Chieng; ADUN Dudong Datuk Seri Tiong King Sing dan Ahli Dewan Negara Senator Robert Lau Hui Yew.

Pasukan itu ditubuhkan berikutan kejayaan GPS merampas tiga daripada empat kerusi di Sibu daripada pembangkang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 pada 18 Disember tahun lepas untuk mempercepat pembangunan di daerah berkenaan.

Dr Annuar berkata, kelima-lima anggota pasukan itu telah mengadakan perjumpaan semalam bagi membahagikan bidang tugas masing-masing dan membincangkan kaedah menangani masalah yang dihadapi masyarakat di Sibu.

Beliau berkata King Sing akan mengendali isu berkaitan perparitan, banjir dan air manakala Michael (pengangkutan awam), Joseph (trafik serta jalan raya) dan Robert (isu perumahan kos rendah serta pusat rekreasi).

Dr Annuar sendiri akan melihat perkara berhubung naik taraf perkhidmatan Hospital Sibu.

"Semua ini adalah perkara yang dekat di hati masyarakat Sibu yang akan kita selesaikan. Kita akan turun padang bersama agensi kerajaan yang berkenaan untuk melihat dan mencari penyelesaian bagi masalah tersebut,” katanya kepada pemberita selepas taklimat berkaitan pembangunan kawasan Bukit Assek yang dihadiri oleh Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menteri Muda Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat itu berkata beliau telah meminta pihak Hopital Sibu memberi taklimat kepada pasukan tersebut dalam masa terdekat untuk membantu menambah baik perkhidmatan di hospital berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya pasukan itu berbeza dengan ‘Sibu Visionary Team’ yang ditubuh dan dianggotai wakil rakyat Barisan Nasional di Sibu suatu ketika dahulu kerana ia lebih berani menyuarakan masalah rakyat dan menyampaikan keperluan mereka secara efektif.

Beliau turut mengingatkan masyarakat di Sibu agar terus mematuhi prosedur operasi standard semasa sambutan Tahun Baharu Cina bagi mengelakkan penularan Covid-19 walaupun kerajaan membenarkan aktiviti kunjung-mengunjung dan persembahan tarian singa. - Bernama