Abang Jo nafi arah gugur istilah 'negeri'

Abang Johari
Abang Johari
A
A
A

KUCHING - Arahan kerajaan negeri Sarawak untuk istilah 'negeri’ digugurkan serta-merta dalam semua urusan rasmi kerajaan adalah tidak benar, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau, bagaimanapun, berkata apabila pindaan terhadap Perkara 1(2) Perlembagaan Malaysia dilakukan maka tindakan sedemikian menjadi penting memandangkan Sarawak menandatangani Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Selepas pindaan nanti, kita (Sarawak) bukan lagi negeri tetapi wilayah,” katanya sambil mengulangi pendirian bahawa Sarawak masih dalam Malaysia.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas arahan itu yang tular dalam media sosial selepas merasmikan Pameran Latihan dan Kerjaya Sarawak 2019 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, di sini hari ini.

Menurut laporan sebuah akhbar tempatan, keputusan menggugurkan perkataan 'negeri’ dalam semua urusan surat rasmi kerajaan telah diumumkan oleh Abang Johari pada satu taklimat di Betong, kira-kira 140km dari sini, beberapa hari lalu.

Semalam, akhbar itu memetik Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah sebagai berkata, keputusan tersebut dibuat susulan pindaan yang akan dibuat ke atas Perkara 1(2) Perlembagaan Malaysia.

Menurutnya, MA63 ditandatangani oleh tiga wilayah - Malaya, Sabah dan Sarawak - dan oleh itu negeri itu tidak bioleh disama tarafkan dengan negeri-negeri lain.

“Niat kita cuma untuk membezakan Sarawak dengan negeri-negeri lain yang ada dalam Malaysia tetapi bukan penandatangan MA63,” katanya seperti dipetik oleh akhbar berkenaan.- Bernama

Artikel Berkaitan: