Piala Asia 2022 medan terbaik dedah skuad dibarisi pemain muda

1134272
1134272
A
A
A

MELAKA - Kejohanan Piala Asia Wanita 2022 di Muscat, Oman dilihat medan terbaik bagi memberi pendedahan dan pengalaman kepada Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan yang rata-rata lebih 70 peratus dibarisi pemain muda.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, justeru kekalahan 0-9 skuad kendalian Ketua Jurulatih, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim kepada India pada perlawanan sulung Kumpulan A bukan satu kejutan malah ia telah dijangka.

Beliau berkata, penyertaan 'The Malaysian Tigress' itu juga adalah satu daripada perancangan jangka masa panjang MHC dalam menyediakan sebuah pasukan yang mampu menyaingi pasukan gergasi lain seperti India, Korea Selatan dan China pada kejohanan akan datang.

"Dalam pasukan ini kita ada ramai pemain muda berusia 18 dan 19 tahun yang tidak ada pengalaman dan ini kali pertama mereka bermain dalam kejohanan kompetetif.

"Sebagai presiden, saya mengambil tanggungjawab, melihat kekalahan itu sebagai satu proses menimba ilmu dan ia ibarat 'asam garam' dan 'sepak terajang' dalam mencari pengalaman. Perlawanan demi perlawanan yang dihadapi kelak, mereka akan menjadi lebih baik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Hoki Melaka (PHM) di sini pada Sabtu.

Subahan berkata, MHC mempunyai perancangan untuk lima hingga enam tahun akan datang bagi membaiki kedudukan dan menyasarkan berada di podium pada kejohanan sama 2026 selain kejohanan ketika ini juga sebagai persediaan menghadapi Sukan Asia di Hangzhou, China, pada September depan.

Beliau berkata, keputusan drastik mengetengahkan muka baharu itu juga bagi membolehkan pasukan wanita negara memperbaiki kelemahan dan meningkatkan prestasi supaya skuad itu tidak berada pada takuk sama.

"Mereka kalah besar kepada pasukan di ranking ke-9 dunia, ia bukan perkara memalukan. Kita tidak boleh terus berharap kepada pemain senior tanpa memberi pendedahan kepada pemain muda.

Artikel Berkaitan:

"Kita perlu ada perancangan jika mahu skuad ini menjadi lebih hebat dan bukan hanya berterusan duduk di tangga kelima sahaja tetapi sekurang-kurangnya mampu berada di kedudukan ketiga," katanya.

Menurut Subahan, MHC juga merancang menghantar pasukan itu menjalani latihan di luar negara seperti Australia selain mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan gergasi dunia sebagai pendedahan sebelum bersaing di Sukan Asia.

Seramai 20 pemain disenaraikan dalam kejohanan Piala Asia Wanita 2022 dengan Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama India, Jepun dan Singapura manakala Kumpulan B menampilkan China, Korea, Thailand dan Indonesia.

Kejohanan itu juga merupakan pusingan kelayakan ke Piala Dunia Wanita 2022 di Sepanyol dan Belanda pada Julai ini. - Bernama

TAG: hoki, Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan, Piala Asia Wanita, Subahan Kamal, sukan asia