Nadma akan distruktur semula: Ismail Sabri

Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat juga dijadualkan akan membincangkan penyelesaian isu banjir, terutamanya di lokasi-lokasi utama di seluruh negeri. - Gambar hiasan
Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat juga dijadualkan akan membincangkan penyelesaian isu banjir, terutamanya di lokasi-lokasi utama di seluruh negeri. - Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat akan membincangkan penstrukturan semula Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi membolehkan kuasa di peringkat negeri dan daerah ditambah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut beliau, Nadma kini hanya berada di peringkat pusat sahaja manakala pengurusan di peringkat negeri dilaksanakan melibatkan kerjasama kerajaan negeri dan pegawai daerah.

“Kita akan membincangkan perkara itu, mungkin perlu dilakukan penstrukturan semula supaya punca kuasa itu boleh ditambah," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Beliau sebelum itu menghadiri Perjumpaan Khas Perdana Menteri bersama Ahli Biro Politik Umno Negeri di Dewan Umno Kelantan, di sini. Turut hadir, Pengerusi Umno Negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob dan kepimpinan Umno Negeri.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat juga dijadualkan akan membincangkan penyelesaian isu banjir, terutamanya di lokasi-lokasi utama di seluruh negeri.

Katanya, ia akan melibatkan perbincangan dan perancangan jangka masa pendek dan panjang penyelesaian isu berkenaan.

"Isu banjir ini adalah isu lama sejak saya mula lahir lagi, memang tidak pernah dapat diselesaikan. Setiap tahun hampir semua tempat di pantai timur ini banjir tapi tidak pernah ada penyelesaian secara keseluruhan. Kita cuma buat tindakan segera sahaja.

“Jika kita tidak mengambil penyelesaian jangka masa panjang, kerajaan akan mengalami kerugian lebih besar. Tahun ini, Menteri Kewangan mengatakan kerajaan perlu mengeluarkan sejumlah RM6 bilion, tidak termasuk RM1.5 bilion bantuan terus kepada rakyat serta kerosakan infra.

Artikel Berkaitan:

“Sedangkan banyak benda boleh dilakukan dengan jumlah berkenaan sebagai langkah pencegahan untuk masa depan. Oleh sebab itu kita akan bincang secara menyeluruh hal ini," katanya.

Ujar beliau, kerajaan mungkin akan memberi tumpuan kepada kawasan-kawasan berisiko terlebih dahulu, sebagai contohnya di Kuala Krai dan Rantau Panjang di Kelantan.