X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Kerjasama dengan Pas, UMNO serah kepada takdir: Nur Jazlan

Nur Jazlan
A
A

JOHOR BAHRU - Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed menjelaskan bahawa parti tidak mempunyai keperluan untuk bekerjasama lagi dengan Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau dengan nada sinis juga berkata, UMNO Johor hanya menyerahkan semuanya kepada takdir sekiranya wujud walau sedikit ruang jika kerjasama itu direalisasikan pada PRN ini.

"Semua sudah jelas dan nyata. UMNO Johor sudah membuat keputusan bergerak solo pada PRN mahupun Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

"Maknanya tiada kerjasama UMNO-Pas mahupun Muafakat Nasional (MN), tidak kisah apa pun Tuan Ibrahim nak cakap, itu hak dia. Bagi saya biarlah kita serah kepada takdir sahaja selepas ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, pada Sabtu.

Sebelum ini, Tuan Ibrahim dalam satu sidang media memberi bayangan Pas bersedia untuk bekerjasama dengan UMNO jika berlaku PRN di Johor.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, Pas juga akan mengadakan perbincangan dengan kepimpinan tertinggi UMNO dalam masa terdekat berhubung kerjasama itu.

Dalam pada itu, Nur Jazlan berkata, pada PRN Melaka lalu, individu sama juga mengeluarkan kenyataan mahu bersama UMNO, namun beliau juga yang membuat pusingan U dengan menentang parti.

Katanya, melihat dengan situasi dan keadaan negeri majmuk seperti di Johor, apa kekuatan yang Pas miliki untuk UMNO bergantung.

"MasyaALLAH, macam mana kita nak percaya kepada Pas kalau pendirian mereka sering berubah ikut kepentingan mereka saja. Pada PRN Melaka, UMNO mahu hulurkan tangan untuk bekerjasama tapi Pas menolak.

“Mereka tinggalkan MN untuk bersama Perikatan Nasional (PN). Jadi di Johor, kita tak nampak keperluan untuk bersama, saya juga harap doa mereka (Pas) dimakbulkan Allah SWT,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!