Israel intip rakyat sendiri?

Pengintipan itu dibuat terhadap penduduk Israel yang dianggap sebagai ancaman berpotensi. - Foto Agensi
Pengintipan itu dibuat terhadap penduduk Israel yang dianggap sebagai ancaman berpotensi. - Foto Agensi
A
A
A

TEL AVIV - Israel pada Khamis melancarkan siasatan terhadap dakwaan polis menggunakan perisian kontroversi, Pegasus untuk mengintip penduduk negara itu termasuk kumpulan yang mengetuai protes antibekas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.

Akhbar Calcalist melaporkan pengintipan itu dibuat terhadap penduduk Israel yang dianggap sebagai ancaman berpotensi di samping mengumpulkan bukti yang kononnya boleh digunakan untuk siasatan pada masa depan.

“Tindakan seumpama itu mengancam demokrasi,” jelas laporan itu tanpa memetik mana-mana sumber.

Pesuruhjaya Polis, Yaakov Shabtai menerusi kenyataan balas terhadap laporan itu memaklumkan pihak berkuasa tidak menemui sebarang bukti yang dapat menyokong maklumat tersebut.

“Pois Israel berusaha memerangi jenayah mengikut undang-undang ditetapkan,” ujarnya.

Difahamkan, pasukan keselamatan di Tel Aviv diberi kelonggaran untuk melakukan pengawasan secara meluas jika mendapat kebenaran badan kehakiman.

Susulan pendedahan itu, Kementerian Kehakiman menggesa siasatan penuh terhadap perkara tersebut.

Sementara itu, NSO yang merupakan firma pengeluar Pegasus tidak mengesahkan atau menafikan ia menjual teknologi tersebut kepada polis Israel.

Artikel Berkaitan:

“Kami tidak lagi mengendalikan sistem itu sebaik sahaja ia dijual kepada klien.

“Kami juga tidak terlibat dalam apa jua operasi sistem,” jelasnya sambil menambah NSO menjual produk tersebut di bawah lesen dan peraturan agensi perisikan serta penguatkuasa undang-undang untuk membasmi keganasan dan jenayah di bawah perintah mahkamah atau undang-undang sesebuah negara. - AFP

Info:

>Produk pengawasan itu dihasilkan firma tempatan, NSO dan berupaya menukar telefon bimbit menjadi peranti pengintipan poket.

>Setelah dipasang pada telefon mudah alih, Pegasus membenarkan akses kepada data dan mesej pengguna serta pengaktifan dari jarak jauh untuk menangkap bunyi serta imej.

>Pada tahun lalu, Pegasus mendapat perhatian dunia selepas ia didakwa telah digunakan untuk mengintip petugas media dan puak penentang di seluruh dunia.

>Kementerian Pertahanan Israel turut melancarkan siasatan terhadap urus niaga perisian Pegasus di luar negara.