X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

Kebakaran tapak pelupusan sampah: JAS buka kertas siasatan

Sharifah Zakiah membuat pemantauan kualiti udara berhampiran tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Jalan Byram di sini pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A

NIBONG TEBAL - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang membuka dua kertas siasatan terhadap pihak pengurusan tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Jalan Byram di sini berhubung kejadian kebakaran di situ yang berlaku sejak 12 Januari lepas.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata JAS Pulau Pinang, selain sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu, pihaknya juga turut membuat pemantauan pencemaran udara di kawasan tersebut, supaya sebarang tindakan segera dapat diambil.

"Berdasarkan kejadian kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung, kami telah membuka dua kertas siasatan terhadap syarikat pengurusan di situ iaitu, membabitkan Seksyen 29A dan Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.

"Seksyen 29A adalah untuk pembakaran terbuka manakala Seksyen 34A adalah untuk melihat pematuhan tapak pelupusan kepada syarat kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), yang dikenakan kepada syarikat pengurusan di situ (tapak pelupusan sampah Pulau Burung),” katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.

Tapak pelupusan sampah Pulau Burung diisytihar sebagai kawasan bencana tahap satu berdasarkan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Nombor 20, selepas kawasan kebakaran di situ mencemari kawasan sekitar dan berisiko terhadap kesihatan.

Terdahulu, tapak pelupusan sampah berkeluasan 16.19 hektar dilaporkan terbakar dalam kejadian 5 petang Rabu minggu lepas, dan ia masih belum dapat dipadamkan sepenuhnya hingga hari ini.

Mengulas lanjut Sharifah Zakiah berkata ini bukan kali pertama JAS Pulau Pinang mengambil tindakan terhadap syarikat yang menguruskan tapak pelupusan itu, iaitu PLB Terang Sdn Bhd kerana sebelum ini sebanyak 14 notis telah dikeluarkan.

"Selain itu kami juga pernah mengeluarkan dua kompaun terhadap syarikat atas kesalahan pembakaran terbuka, menurut Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.

"Selain itu, terdapat kes mahkamah berhubung syarikat pengurusan itu dan ia akan dibicarakan di mahkamah bulan hadapan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata berdasarkan pemeriksaan pihaknya mendapati terdapat sedikit peningkatan dalam bacaan kualiti udara di kawasan berhampiran yang terjejas, iaitu di luar tapak pelupusan Pulau Burung.

Katanya JAS Pulau Pinang telah menghantar pasukan pemantau selepas di maklumkan mengenai kejadian itu, untuk mengesan sebarang bahan pencemar dalam bentuk gas dan habuk yang dikeluarkan dari tapak pelupusan sampah tersebut.

"Melihat kepada aliran semasa, bacaan menunjukkan peningkatan dan kami sedang memantau dengan lebih dekat, setakat ini operasi pemadaman melibatkan kaedah pengeboman air sejak dua hari lepas telah menunjukkan perkembangan yang positif,” katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!