PRN Johor: Pas sedia bincang dengan UMNO

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Pas akan mengadakan perbincangan dengan UMNO bagi membentuk kerjasama sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekiranya ia berlaku dalam masa terdekat.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya juga akan berbincang dengan rakan parti lain bagi memantapkan kerjasama pada pilihan raya berkenaan.

“Kita kena lihat terlebih dahulu sama ada PRN Johor ini berlaku atau tidak.

Kita akan adakan perbincangan dengan UMNO dan komitmen kita sebenarnya dengan parti itu.

“Dengan parti lain ia masih berjalan.

Kita harap mampu laksanakan kerjasama dengan baik.

Masing-masing bersedia dan Pas juga bersedia kerana di Johor kita biasa bertanding tetapi perbincangan bagi kerjasama kita akan teruskan,”katanya pada Majlis Pelancaran Rasmi Malaysia Recycling Alliance (Marea) di sini pada Jumaat.

Pada Khamis, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad memberi bayangan bahawa PRN Johor bakal diadakan dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Pengerusi UMNO Johor memberi jaminan PRN tidak akan mengganggu urusan pentadbiran kerajaan negeri jika dilaksanakan tidak lama lagi.

Bagaimana pun, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat menafikan pihaknya telah menerima sebarang surat berkaitan pembubaran DUN untuk masa yang terdekat.

Beliau berkata, sehingga kini tiada sebarang surat berkaitan perkara tersebut diterima atau dikemukakan oleh mana-mana pihak sama.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berpendapat, PRN tidak sepatutnya diadakan dalam masa terdekat kerana negara baharu sahaja berdepan dengan banjir besar dan sebaiknya PRN tersebut berlaku serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Sudah ada dua negeri yang berbeza pilihan raya dengan Persekutuan iaitu Melaka dan Sarawak.

Saya fikir semua orang mahu kita kurangkan main politik sebab rakyat susah tapi terpulang kepada kerajaan Johor, kalau terbubar kita terpaksa hadapi pilihan raya.

“Jika boleh kita tidak mahu banyak sangat pilihan raya yang berbeza tarikh.

Akhirnya, rakyat akan berada dalam situasi berpolitik sepanjang waktu,” katanya.

Jelasnya lagi, Muafakat Nasional (MN) masih berjalan seperti biasa dan ia belum terkubur.