VTL darat akan disambung semula

Hasni (tengah) ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Zon Dron dan Robotik Iskandar (DRZ) di Bandar Medini, pada Khamis.
Hasni (tengah) ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Zon Dron dan Robotik Iskandar (DRZ) di Bandar Medini, pada Khamis.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Inisiatif Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat yang menghubungkan Malaysia dan Singapura akan disambung semula selepas ditangguhkan selama kira-kira sebulan akibat penemuan varian Omicron.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, susulan itu pihaknya akan terus memberi kerjasama dan memantau situasi semasa melibatkan varian baharu Covid-19 itu.

"Saya juga berhasrat untuk meminta kerajaan Pusat meningkatkan jumlah pengembara yang boleh merentas antara kedua-dua negara melalui inisiatif berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Zon Dron dan Robotik Iskandar (DRZ) di Bandar Medini di sini pada Khamis.

Pada Disember lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan memutuskan untuk menggantung sementara penjualan tiket bas dan penerbangan bagi VTL Malaysia dan Singapura hingga 20 Januari 2022.

Beliau dilaporkan berkata, keputusan itu susulan kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Singapura pada 20 Disember lalu berhubung satu kluster tempatan Covid-19 kemungkinan varian Omicron.

Mengenai pelancaran laman Ujian Dron Iskandar Investment Berhad (IIB), beliau barkata, kemudahan tersebut bakal menarik pelaburan asing dan domestik berjumlah RM350 juta menjelang 2025.

Selain itu katanya, dijangka menarik kemasukan 70 syarikat dron yang akan mewujudkan 1,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi sekali gus akan meningkatkan ekonomi setempat dan mengukuhkan kedudukan Iskandar Malaysia sebagai Hab Digital Johor.

Artikel Berkaitan: