Solat Jumaat kapasiti penuh: JAIS ambil kira pandangan JKN Selangor

Sultan Selangor yang turut berkenan jarak antara satu jemaah dengan jemaah lain ditetapkan sebanyak semeter. (Gambar kecil: Mohd Shahzihan)
Sultan Selangor yang turut berkenan jarak antara satu jemaah dengan jemaah lain ditetapkan sebanyak semeter. (Gambar kecil: Mohd Shahzihan)
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengambil kira pandangan daripada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor berhubung pelaksanaan solat fardu Jumaat dengan kapasiti penuh ruang solat utama dan ruang limpah serta penjarakan fizikal jemaah sekurang-kurangnya satu meter di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, cadangan JAIS dipersetujui oleh JKN Selangor berserta ulasan terperinci dan penegasan untuk perlaksanaan prosedur operasi standard (SOP) melalui surat rasmi yang telah dikeluarkan pada 31 Disember tahun lalu.

Malah, katanya, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut memberi perkenan setelah JAIS menyembah maklum kepada baginda bahawa ketetapan itu dirujuk untuk pandangan dan ulasan JKN Selangor.

"JAIS telah memohon pandangan rasmi serta nasihat daripada JKNS mengenai kewajaran pelaksanaan solat fardu Jumaat dengan kapasiti penuh ruang solat utama dan ruang limpah serta penjarakan fizikal jemaah sekurang-kurangnya satu meter di Selangor," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Sehubungan itu, JAIS pada Rabu mengeluarkan surat ketetapan baharu mengenai pelaksanaan solat fardu Jumaat di negeri ini.

"Ketetapan baharu ini sebagai panduan kepada pentadbir masjid dan surau membenarkan solat Jumaat dalam melaksanakan ketetapan berkenaan," ujarnya.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, semua masjid dan surau di Selangor yang mendapat kebenaran solat fardu Jumaat dibenarkan untuk menggunakan ruang solat utama dan ruang limpah secara sepenuhnya bagi menunaikan solat itu bermula Jumaat ini.

Mohd Shahzihan berkata, kebenaran tersebut mendapat perkenan Sultan Selangor yang turut berkenan jarak antara satu jemaah dengan jemaah lain ditetapkan sebanyak semeter.

Artikel Berkaitan: