Pekebun terserempak harimau melintas jalan

Sahefol Azli menunjukkan lokasi dia melihat haiwan disyaki harimau kumbang melintas di Kampung Bukit Berapit, Kuala Kenas, Kuala Kangsar.
Sahefol Azli menunjukkan lokasi dia melihat haiwan disyaki harimau kumbang melintas di Kampung Bukit Berapit, Kuala Kenas, Kuala Kangsar.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Seorang pekebun terkejut selepas terserempak dengan haiwan dipercayai harimau kumbang ketika melalui Kampung Bukit Berapit, Kuala Kenas di sini pada Rabu.

Sahefol Azli Shah, 46, mendakwa melihat kelibat mamalia itu melintas jalan di kawasan kebun getah dan kelapa sawit ketika dia memandu kereta untuk mengambil anaknya di sekolah berhampiran kira-kira jam 12.50 tengah hari.

Menurutnya, harimau bersaiz besar berjalan perlahan melintas jalan sebelum hilang di hutan berhampiran.

"Ini pertama kali saya ternampak haiwan itu sepanjang membesar di kampung ini. Biasanya saya hanya mendengar cerita penduduk sahaja," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Khamis.

Menurutnya, penduduk kini mula bimbang dengan keselamatan mereka terutama yang bekerja di ladang sawit dan penoreh getah tetapi jalan berkenaan merupakan laluan utama untuk ke pekan atau ke sekolah berhampiran.

"Keselamatan kanak-kanak yang menjadi keutamaan kerana jalan ini dilalui ketika berbasikal dan berjoging pada waktu petang," katanya.

Lokasi kejadian di Kampung Bukit Berapit, Kuala Kenas, Kuala Kangsar merupakan laluan utama penduduk untuk ke sekolah dan pekan berhampiran.
Lokasi kejadian di Kampung Bukit Berapit, Kuala Kenas, Kuala Kangsar merupakan laluan utama penduduk untuk ke sekolah dan pekan berhampiran.

Penduduk, Omar Ali Othman, 37, berkata, mereka perlu terus bekerja di kebun sawit walaupun bimbang dengan kehadiran haiwan itu.

Artikel Berkaitan:

"Ada penduduk mendakwa terdengar bunyi seperti ngauman pagi tadi tetapi tidak dapat dipastikan dari arah mana.

"Saya sendiri ada pengalaman menjumpai tapak seperti harimau dua tahun lalu. Kali ini kami perlu lebih berhati-hati dan peka dengan keadaan sekeliling," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff ketika dihubungi mengesahkan menerima aduan penduduk tersebut.

"Pengadu memaklumkan dia tidak pasti jenis haiwan yang dilihatnya kerana memakai cermin mata hitam manakala penduduk lain mendakwa tidak pernah melihat haiwan tersebut.

"Kita juga tidak menerima laporan kejadian serangan membabitkan haiwan ternakan oleh harimau namun tindakan lanjut sedang diambil," katanya.