Harimau kumbang muncul lagi, baham anjing

Amin menunjukkan lokasi harimau kumbang itu datang dari arah hutan di sebarang jalan.
Amin menunjukkan lokasi harimau kumbang itu datang dari arah hutan di sebarang jalan.
A
A
A

KUALA PILAH - Sepasang suami isteri masyarakat Orang Asli di Kampung Kalang Meranti di sini tidak menyangka dua ekor anjing peliharaannya menjadi korban harimau kumbang dalam kejadian awal pagi Isnin.

Amin Kassim dan Zawiyah Jeyih masing-masing berusia 53 tahun pada awalnya dikejutkan dengan salakan anjing pada jam 11 malam dengan haiwan itu memandang ke arah kawasan hutan di seberang jalan kediaman mereka.

Menurut Amin, terdapat tujuh ekor anjing berada di kawasan rumah ketika itu dan dilihat berlegar-legar, bagaikan tidak senang duduk selain dia turut terbau hamis.

"Saya lihat ekor anjing kami sudah melipat ke bawah. Mengikut petua masyarakat Orang Asli, kalau kedudukan ekor anjing sebegitu ditambah pula dengan bau hamis, itu petanda kehadiran harimau kumbang.

"Kira-kira jam 2.50 pagi, sekali lagi anjing kami menyalak dan bau sama semakin kuat. Sebaik pintu rumah dibuka kami nampak ekor harimau kumbang itu sebelum ia lari semula ke arah hutan," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya pada Isnin.

Amin menunjukkan bekas tapak kaki harimau kumbang. Kesan tapak kaki dipercayai milik harimau kumbang.
Amin menunjukkan bekas tapak kaki harimau kumbang. Kesan tapak kaki dipercayai milik harimau kumbang.

Amin berkata, selepas diperiksa terdapat tompokan darah, kesan tapak kaki harimau dan dua ekor anjingnya hilang, dipercayai telah menjadi korban harimau itu.

"Ini kali ketiga 'pak hitam' muncul. Kejadian pertama dan kedua pada bulan lepas, namun laporan rasmi hanya dibuat pada 20 Mei lalu di Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

"Kami bimbang sekiranya keadaan itu berterusan mengancam nyawa penduduk kampung.

"Kalau semua anjing kami sudah mati, jadi korban 'pak hitam', selepas ini siapa pula yang akan jadi korban kalau bukan kami yang tinggal ini? Jadi saya mohon agar pihak bertanggungjawab mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Kediaman Amin berhampiran hutan di sebarang jalan.
Kediaman Amin berhampiran hutan di sebarang jalan.

Sinar Harian sebelum ini pernah melaporkan kehadiran harimau kumbang di kampung berhampiran iaitu di Kampung Gachong dekat Inas pada April lepas.

Aksi haiwan itu yang menerjah ke kediaman penduduk berjaya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumah berkenaan.