Pasangan kekasih ditahan sorok dadah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua individu yang dipercayai pasangan kekasih ditahan selepas anggota agensi penguatkuasaan yang menjalankan pemeriksaan menemui dadah dipercayai syabu yang disorok dalam bungkusan kentang goreng.

Lelaki berumur 44 tahun dan wanita 21 tahun yang menaiki motosikal jenis Kawasaki Ninja RR itu ditahan ketika operasi bersepadu di Plaza Tol Duta arah ibu negara pada kira-kira pukul 10 malam tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Abdul Tolib Ahmad berkata pemeriksaan lanjut mendapati lelaki yang menunggang motosikal itu tidak mempunyai lesen memandu.

“Malah cukai jalan motosikal yang dinaiki turut tamat tempoh,” katanya ketika ditemui pemberita pada operasi yang dijalankan selama empat jam bermula 8 malam tadi.

Beliau berkata lebih 800 notis dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan jalan raya termasuk tiada lesen memandu dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh selepas 2,358 kenderaan diperiksa.

Operasi bersepadu yang pertama dilakukan tahun ini melibatkan seramai 112 anggota daripada JPJ, Jabatan Imigresen, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Agensi Antidadah Kebangsaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar.

Katanya sebanyak 10 motosikal disita manakala Jabatan Imigresen turut menahan 20 warga asing termasuk yang tiada dokumen dan memandu lori tanpa lesen. -Bernama

Artikel Berkaitan: